Berita Terkini
recent

Ketengah rekaan asia

Program popular mengisahkan persiapan perkahwinan pengantin perempuan di Eropah dan Amerika Syarikat, Say Yes to the Dress kini diterbitkan dalam versi Asia.

Lebih membanggakan, Kuala Lumpur bakal menjadi lokasi pilihan penggambaran program lapan episod itu yang akan disiarkan di saluran TLC.

Beza daripada versi asal yang mengetengahkan gaun moden berwarna putih, Say Yes to the Dress Asia memaparkan busana perkahwinan tradisi pelbagai kaum yang berwarna-warni.

Setiap episod mengetengahkan sekurang-kurangnya dua gaun pilihan bakal pengantin perempuan yang akan digayakan pada hari bahagia.

Program realiti itu dikendalikan dua personaliti terkenal tanah air iaitu pereka fesyen Jovian Mandagie dan pelakon Daphne Iking.

Berkongsi pengalaman mengacara Say Yes to the Dress Asia, Daphne memberitahu, mudah serasi dengan Jovian kerana sudah 10 tahun mengenali pereka fesyen itu.

“Jovian pernah membantu menghasilkan gaun pengantin idaman saya. Sejak perkenalan itu, kami berkawan baik.

“Oleh itu, saya gembira apabila diberitahu akan mengendalikan program ini bersama Jovian,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Daphne, program berkenaan berbeza kerana dikehendaki mengacara secara santai dan bersahaja tanpa skrip.

“Paling penting kami perlu memastikan dialog dalam setiap babak seimbang dan bukan salah seorang saja yang bercakap banyak,” katanya.

Walaupun dia peminat setia Say Yes to The Dress, Daphne masih mencari maklumat tambahan berkaitan program itu.

“Tiba masanya produksi Say Yes to The Dress menerbitkan edisi khas untuk Asia kerana rantau ini turut melahirkan ramai pereka fesyen terkenal dan handal. Sudah tentu apabila diamanahkan tugas penting ini, saya perlu membuat beberapa kajian terutama mengenai rekaan gaun pengantin,” katanya.

Jovian pula mengakui terkejut apabila menerima tawaran mengendalikan Say Yes to the Dress Asia walaupun sudah meninggalkan bidang pengacaraan empat tahun lalu.

“Saya berbesar hati diberi peluang menjadi sebahagian daripada pasukan program realiti terkenal ini.

“Sebagai pereka fesyen, saya seronok apabila berpeluang memberi nasihat serta idea untuk membantu pengantin perempuan mencari gaun idaman,” katanya.

Bukan saja mengetengahkan gaun tradisi pengantin, Jovian berkata, Say Yes to the Dress Asia unik kerana turut memaparkan perkahwinan campur.

“Saya berharap penonton di luar Asia dapat menonton program ini untuk menyaksikan gaun pengantin daripada bangsa berbeza,” ujarnya.

Selain menyaksikan bakal pengantin perempuan mencari gaun idaman mengikut kemampuan masing-masing, penonton turut berpeluang menyaksikan majlis perkahwinan dengan salah satu daripadanya akan berlangsung di Sabah.

Bukan mudah memilih gaun paling sesuai kerana pelbagai drama serta emosi bakal pengantin akan disaksikan dalam program terbabit.

Say Yes to the Dress Asia dijangka disiarkan di saluran TLC hujung tahun ini.

Ikuti perkembangan program ini menerusi laman sesawang rasmi serta media sosial Instagram dan Facebook Say Yes to the Dress Asia.
Powered by Blogger.