Berita Terkini
recent

Kanak-Kanak Terpinggir Beli-Belah Bersama Aznil

SEPERTI tahun sebelum ini, Tesco Extra sekali lagi bersama Datuk Aznil Nawawi menemani 150 orang pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) membeli-belah di pasar raya itu sempena sambutan hari raya.

Aznil, 55, selaku ikon sekolah berkenaan turut tersentuh hati mengenangkan nasib anak-anak itu yang mempunyai cerita duka di sebalik kegirangan hidup masing-masing.

"Setiap kali saya mengikuti anak-anak ini membeli-belah barang keperluan hari raya mereka, hati saya tersentuh dengan kelakuan mereka. Kalau nak diikutkan, setiap mereka ini ada cerita yang tidak ada siapa ketahui.


"Antara momen yang buat saya sebak bila anak-anak ini bertanya kepada saya boleh tak nak beli barang untuk ahli keluarga yang lain tanpa beli barangnya. Sedangkan ini saja peluang untuk membeli barang yang mereka perlu menyambut hari raya.

"Tapi saya minta mereka fikir tentang diri mereka terlebih dahulu sebelum orang lain. Selain itu, ada juga yang beli kasut bersaiz besar daripada kaki kerana boleh dipakai lama," kata Aznil yang sudah mengganggap 150 kanak-kanak itu sebagai anaknya.

Aznil ditemui pada sesi memilih pakaian hari raya bersama kanak-kanak itu di pasar raya Tesco Extra, Mutiara Damansara, di sini, Isnin.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Perkhidmatan Koporatnya, Puan Azliza Baizura Azmel, program ini dijalankan untuk memberi peluang kepada anak-anak kurang bernasib baik merasai suasana menyambut hari raya seperti kanak-kanak lain.


"Tahun ini merupakan tahun kedua kami melakukan aktiviti membeli-belah bersama anak-anak di sekolah ini. Datuk Aznil selaku ikon SBJK dijemput untuk bersama-sama memeriahkan suasana.
"Seperti tahun lalu, setiap seorang pelajar diberi peluang membeli baju, kasut atau barang-barang untuk sambutan hari raya. Cuma tahun ini mereka hanya diberikan dengan jumlah RM150 sahaja," katanya.

Tahun sebelum ini mereka mendapat peluang untuk membeli keperluan hari raya tajaan pasar raya berkenaan tidak melebihi RM250 seorang.

Pelajar sekolah ini ialah satu kumpulan kanak-kanak yang hidup terpinggir apabila ibu-bapa mereka menjadi gelandangan dan perkara-perkara lain.



Powered by Blogger.