F Kalau kita OK, semua akan OK | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Kalau kita OK, semua akan OK

Penangan irama ‘world music’ pernah dibawa Yasin Sulaiman, 42, sedekad lalu masih mempengaruhi beberapa karya muzik tempatan sehingga kini.

Siapa boleh lupa dengan irama Mimpi Laila, Nur Kasih mahupun Salsabila yang pernah menjadi halwa telinga anak muda suatu ketika dulu.

Kini selepas 10 tahun ‘berehat’, Yasin yang kembali dengan kumpulan Brothers tahun lalu dan pergiatkan semula kerjaya solonya tahun ini dengan single Dialah, baru-baru ini.

Yassin ketika ditemui bersyukur kerana single Dialah muncul pada Ramadan kemudian menyusul single bersama Brothers, Dua Malaikat yang didedikasi untuk rakan mereka, arwah Mohd Salleh Mohamed Deril yang meninggal dunia pada 6 Oktober tahun lalu.

“Selalunya bulan puasa aktiviti saya ‘lebih kurang’ saja tapi tahun ini banyak projek terbaru yang berlaku secara kebetulan.

“Saya juga baru selesai rakaman program hiburan Akustik untuk disiarkan di Astro bulan ini,” katanya.

Yasin akui selepas zaman Mimpi Laila dia berasa tidak seronok mungkin disebabkan banyak faktor tetapi antara yang membuatkan dia begitu kerana berada di bawah ‘spotlight’ yang terlalu ‘terang’.

Ditambah pula selama 10 tahun itu juga dia berdepan dengan pelbagai konflik dalam hidup. Disebabkan itu, dia mengambil keputusan untuk berehat dan bertapa dalam studio.

Andai ada projek sekalipun, sekadar satu dua projek seperti single duet bersama Amy Search melalui Ul Husna pada 2015 dan Maya Karin melalui single Sinar Ini pada 2012.

Untuk lagu terbarunya, Dialah adalah ciptaan bersama Faizal Tahir dan Ezra Kong dan disifatkan sebagai karya interbudaya.

Katanya, video klip untuk lagu itu turut menampilkan Adam Corrie beraksi melalui persembahan koreografi unik yang menggabungkan seni taichi dan silat.

Diam tak diam, dia juga memulakan projek single khas Yaseen bersama produser lagu ketuhanan, Farihin Abdul Fatah yang diberi nama projek O Mankind.

Projek itu membabitkan budaya dan kesenian Islam dan menjelajah dari masjid ke masjid seluruh Malaysia.

Antara terawal direalisasikan ialah Majlis 25 Rasul di Shah Alam pada April lalu yang turut menampilkan beberapa artis nasyid popular tempatan antaranya kumpulan Rabbani, Hijjaz, Nada Murni, The Zikry dan Nazrey Johani.

Katanya, projek O Mankind bukan fokus kepada keuntungan semata-mata sebaliknya bertujuan menerapkan nilai murni melalui hiburan santai kepada masyarakat setempat.

Ia juga bertujuan untuk menarik golongan muda mengimarahkan masjid berhampiran mereka melalui gerakan budaya.

Kata Yasin, keputusan kembali ke persada seni hiburan tanah air adalah kehendak sendiri. Dalam tempoh dua tahun ini, dia banyak belajar perkara baru yang mematangkan dirinya sebagai penggiat seni.

“Saya kini lebih matang dan ‘okey’ dengan keadaan masa ini. Keyakinan saya juga bertambah. Semua itu berbalik kepada diri kita sendiri. Kalau kita ‘okey’, semua perkara di sekeliling kita juga ‘okey’.

“Matlamat saya ringkas, mahu terus menghasilkan lagu yang bagus sehingga sempurna,” katanya optimis.

Yasin juga bangga kerana anaknya, Sameer, 13, dan Malaika, 8, mula menunjukkan taring dalam bidang seni.

Sameer menunjukkan minat dalam seni grafik dan muzik malah pernah muncul mengiringi persembahan Faizal Tahir di ABPBH 2015.

Anak sulungnya itu juga suka menghasilkan lukisan digital seperti anime dan sedang mempelajari bahasa Jepun, sekali gus menunjukkan kecenderungan untuk ke negara Matahari Terbit itu pada masa depan.

Malaika pula menunjukkan minat menyanyi serta mula berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan program kanak-kanak di satu stesen TV.

Katanya, dia tidak pernah menghalang mereka melakukan apa yang mereka suka cuma berasakan kerjaya pada masa depan akan berubah.

“Kalau kita paksa jadi doktor atau jurutera sekalipun, landskap kerjaya mungkin akan berubah dalam tempoh 10 tahun.

“Jadi, lebih baik bentuk mereka dengan menyuapkan budaya yang baik agar menjadi orang baik yang boleh bercampur dengan semua orang secara berdikari,” katanya.

Powered by Blogger.