F Kagumi dua artis | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Kagumi dua artis

Nama Nurul Jannah Muner atau Janna Nick adalah pelakon muda yang sering disebut-sebut kini. Kehadirannya dalam industri mula mendapat perhatian selepas membintangi drama Jodoh.

Perjalanan seni Jannah tidak hanya sebagai pelakon malah muncul dengan single Mungkin Saja. Malah lagu itu juga layak bertanding ke separuh akhir Muzik Muzik.

Pada majlis Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) bulan lalu, Jannah dinobatkan sebagai Pelakon TV Wanita Popular.

Perkara itu disifatkannya antara momen terindah dalam meniti kerjayanya. Lebih manis apabila trofi kemenangan itu disampaikan primadona yang diminatinya, Erra Fazira.

Ketika itu Janna akui teruja tetapi perasaan itu harus dikawal kerana dia berada di pentas.

Katanya, dia membesar dengan filem lakonan Erra dan melihat pelakon itu sebagai individu yang sempurna, bukan hanya dari segi kerjaya tetapi juga fizikal.

“Sebelum bergelar pelakon, saya selalu menonton lakonan Erra. Dia tinggi, cantik dan mempunyai bentuk badan langsing. Itu dari segi fizikal. Erra juga pelakon dan penyanyi yang baik. Erra sentiasa berjaya membawa setiap watak dengan baik.

“Saya lebih bangga dengan dirinya. Walaupun menjadi pelakon pujaan ramai rakyat Malaysia, dia tidak pernah sekalipun meninggi diri dengan status itu,” katanya.

Sebelum bergelar artis, Jannah membayangkan dirinya bergelar pelakon yang berjaya seperti Erra dan kini dia sedang berusaha untuk membina empayarnya sendiri.

Bukan hanya bergelar anak seni, dia juga kini berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. Dalam hal ini, dia menghalakan pandangannya melihat cara Neelofa menjalankan bisnesnya.

Katanya, menjalankan perniagaan itu bukanlah sesuatu yang mudah tetapi Neelofa berjaya bergelar usahawan muda yang berjaya memasarkan produknya.

“Status pelakon tidak menjadikan laluan untuk memasarkan produk yang saya hasilkan itu berakhir dengan kejayaan. Strategi harus betul, ‘team’ juga harus kuat untuk memastikan pelanggan setia dengan produk kita.

“Oleh itu, kualiti harus sentiasa dijaga dan ditambah baik. Berniaga harus ikhlas kerana apabila berlaku perkara yang tidak diingini yang buruk itu akan cepat tersebar,” katanya.

Mahu berniaga harus ada ilmu dan bukannya terlalu gelojoh mengejar untung semata-mata. Jannah kagum dengan kesungguhan dan kebijaksanaan Neelofa mengendalikan perniagaannya.

Kata Jannah, pada usia masih muda pengacara itu membuktikan perniagaannya tidak hanya setakat di Malaysia tetapi mula masuk ke luar negara.

“Kalau Neelofa boleh berjaya, saya juga ada peluang untuk maju dengan produk yang saya hasilkan itu. Walaupun tidak berpeluang bersua muka untuk meminta tip tetapi saya tahu, dia banyak berkorban dan bekerja keras untuk mengukuhkan perniagaannya.

“Saya kagum dengan kecekalannya. Dia juga bijak mengatur strategi. Banyak perkara yang saya boleh belajar daripada dia dan berharap satu hari nanti melihat produk yang saya keluarkan ini mampu menembusi pasaran luar negara,” katanya.

Jannah kini sibuk menjalani penggambaran drama 60 episod berjudul Dia yang bakal mengisi slot Akasia di TV3. Ini kali pertama Jannah berlakon dalam drama panjang.

Katanya, sebelum ini pernah ditawarkan tetapi dia menolak kerana bimbang tidak mampu memberikan komitmen dalam tempoh lama.

“Saya bercuti selama seminggu menyambut hari raya dan kembali masuk ke lokasi penggambaran. Dalam drama itu ada ramai pelakon hebat yang terbabit sama.

“Antaranya Irwansyah, Adi Putra, Izara Aishah dan Emma Maembong. Kami saling menyokong dan tidak timbul pun mahu tunjuk bagus,” katanya.

Powered by Blogger.