Berita Terkini
recent

Jururawat terlantar pergi jua

Jururawat yang terlantar sejak setahun lalu kerana masalah buah pinggang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Krai, kira-kira jam 1 petang kelmarin.

Ibunya, Aminah Che Wan, 61, berkata, sejak tiga hari kebelakangan ini, Rozita Aziz, 27, acap kali mengadu sakit.

Menurutnya, Allahyarham yang juga kakitangan Hospital Kuala Krai juga enggan mencuci darah, rutin perlu dilakukannya setiap hari.

“Bila ke hospital, proses cuci darah tak dapat dibuat. Hospital nak alih tempat, tapi arwah berkeras tak mahu,” katanya semalam.

Dia berkata, anaknya yang turut menghadapi masalah tiroid dan tulang rapuh kerap bertanya katil dimaklumkan akan disumbangkan pihak hospital bagi memudahkannya bangun.

“Arwah nak bangun, tapi makcik tak dapat bangunkan dia sebab bimbang dia cedera. Dia memang tak selesa baring lama-lama,” katanya.

Tambahnya, sejak kisah penderitaan anaknya disiarkan di Sinar Harian baru-baru ini, banyak pihak menziarahi mereka sekeluarga.

“Ramai datang lawat dan beri sumbangan. Terima kasih kepada semua, juga kepada Sinar Harian yang paparkan kisah arwah,” katanya.

Jenazah anak ke-10 daripada 14 beradik ini disemadikan di Tualang selepas berbuka puasa, petang kelmarin.

Aminah memaklumkan Allahyarham sempat berbakti kepada keluarga selama dua tahun sebelum kesihatannya merudum menyebabkan Rozita terpaksa bercuti selama dua tahun.

Penderitaan Rozita bermula apabila buah pinggangnya didapati rosak pada 2009, ketika sedang mengikuti kursus kejururawatan tahun satu di Alor Star.

Dia berjaya menamatkan pengajian pada 2012 dan kemudiannya ditugaskan di Klinik Kesihatan Gua Musang selama tiga bulan seterusnya ke Hospital Kuala Krai.

Kesihatan makin merosot pada 2015 menyebabkan dia bercuti mulai Januari 2016.

Penderitaan Rozita mendapat perhatian Pemangku Sultan Kelantan, Dr Tengku Muhmmad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra yang menitahkan Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi menyampaikan sumbangan.

Powered by Blogger.