Berita Terkini
recent

Issey Titan ingat pesan Sabri Yunus

PELAKON, pengacara dan juga penyampai radio, Issey Titan mengakui populariti yang dikecapnya hari ini tidak pernah menjadikan dia lupa diri, sebaliknya cuba menggunakan segala peluang untuk memperbaiki kelemahan.

Memulakan kerjaya seni dari bawah, Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin, sentiasa mencari ruang terbaik untuk menonjolkan bakatnya meski mengambil sedikit masa untuk dikenali berbanding orang lain.

Bagaimanapun, dia sendiri tidak percaya boleh berada di tahap sekarang kerana terpaksa berdepan kesukaran.


“Saya tak dikenali secara tiba-tiba melalui program atau drama, tapi ambil masa yang agak lama untuk membuktikan bakat saya," katanya yang tidak pernah berputus asa.

Memulakan kerjaya seni sekitar 2013, selain aktif berlakon dan menjadi penyampai di radio Hot FM, Issey turut terlibat dengan tugas sebagai pengacara menerusi program Sarapan, Tiga Juara dan Mentor Milenia.


Issey yang menjadikan Sabri Yunus sebagai idola dan pembimbingnya dalam program realiti Bintang Mencari Bintang (2013) mahu lebih bertanggungjawab terhadap tugasan yang diberikan kerana sedar tidak mudah untuk berada dalam industri, sekali gus sangat menghargai peluang yang diberikan.

“Sekarang baru saya faham tentang segala pesanan  idola saya, Sabri Yunus. Dia tekankan soal disiplin serta tanggungjawab,” katanya yang sehingga kini masih lagi berhubung dengan Sabri.

Meski ramai yang mengenalinya sebagai pelawak menerusi kumpulan Titan bersama Azizul Ammar, anak kelahiran Kelantan ini juga mengakui dia belum bersedia untuk gelaran itu.

“Saya lebih selesa dikenali sebagai pelakon, pengacara dan juga penyampai radio berbanding pelawak. Rasanya saya ni belum menepati ciri-ciri pelawak, Saya pun tahu setakat mana kemampuan nak bergelar pelawar.

“Saya memang selalu melawak ketika mengacara dan di konti radio tapi saya bukan pelawak, masih jauh lagi nak ke arah tu,” tegasnya yang sentiasa berpegang kepada falsafah disiplin penting dalam setiap arah geraknya.

Bawa ibu tinggal bersama

Sempena sambutan Aidilfitri kurang dua minggu lagi, Issey bakal muncul dalam beberapa program TV, antaranya sitkom JKK Raya, Perang Bibir Raya, Mentor Milenia Raya dan juga telefilem Restu Ramadan.

Mengenai sambutan Ramadan kali ini, kata Issey, dia meraikannya dengan tenang sekali biarpun hanya berseorangan selepas berpisah dengan bekas isteri sekitar Ogos tahun lalu.

“Tahun lalu hidup saya sangat kelam kabut dan serabut dengan segala masalah dalam rumah tangga. Kali ini saya lalui dengan situasi yang cukup berbeza selepas semuanya selesai.

“Lagipun, dalam tahun ini saya dapat mengatur jadual kerja dengan cukup baik di mana sepanjang Ramadan ini saya hanya terlibat dengan tugasan di radio sahaja.

"Semua kerja-kerja membabitkan program sempena Aidilfitri dah diselesaikan lebih awal,” katanya," katanya lagi.

Lebih menyeronokkan lagi, kata Issey, dia dapat menggunakan masa yang ada untuk menjaga dan menemani ibunya yang baru sahaja tinggal bersamanya di ibu kota sejak hampir dua bulan lalu.

“Ibu saya uzur sebab ada diabetes kronik, jadi sejak dua bulan lalu saya membawanya tinggal bersama di sini. Saya pun tak bimbang sangat sebab dah ada depan mata dan boleh dapat tumpukan perhatian pada kerja," katanya yang banyak meluangkan masa di rumah terutama ketika berbuka puasa.


Sepanjang Ramadan juga Issey sibuk menguruskan perniagaan baju Melayu miliknya di bawah label JMT.

Mengenai statusnya kini, Issey memberitahu, dia belum bersedia dan tidak merancang mencari pengganti pada masa terdekat, sebaliknya lebih selesa memberi tumpuan kepada kerjaya dan hanya berserah soal jodoh.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.