F Iskandar Ng percaya pada rezeki | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Iskandar Ng percaya pada rezeki

KEMUNCULAN ramai pelakon baru dalam industri lakonan tempatan membuka ruang besar buat pencinta filem dan drama tanah air untuk menilai kelebihan aktor atau aktres yang dirasakan mampu menggantikan pelakon senior sedia ada.

Tidak hanya selesa ‘menggunakan tiket’ rupa fizikal semata-mata, kualiti lakonan menjadi pendekatan terbaik buat muka baru untuk terus kekal dan relevan dalam dunia lakonan.

Itulah prinsip Iskandar Ng atau nama sebenarnya Mohd Iskandar Md Nor, 27, yang mengakui tidak mudah untuk  orang baru sepertinya membuktikan bakatnya.

“Saya sendiri struggle sejak tahun 2014. Bukan mudah membuka mata ramai terhadap bakat yang kita ada. Tapi, sebagai orang baru, saya tak boleh putus asa, kena usaha dan terus mencuba," kata anak bongsu ini yang mengharapkan tuah dalam bidang yang diceburi sekarang.

Mengulas lebih terperinci mengenai penglibatannya dalam lakonan secara profesional, Iskandar ketika ditemui di majlis pelancaran saluran TV membeli-belah terbaru, Laku Mall di GSC Signature, The Gardens Mall baru-baru ini memberitahu, semuanya berlaku secara spontan.

Dia yang sebelum ini bertugas di bahagian penyediaan makanan untuk penumpang Business Class, Malaysia Airlines pernah menyediakan makanan kepada pelanggan dan salah seorangnya ialah Pegawai Eksekutif Metrowealth, Mejar (K) David Teo.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, mungkin sudah rezekinya, kata Iskandar, ketika sedang menyediakan makanan, David ada bertanya, sama ada dia  meminati bidang lakonan.

"Saya cuma kata minat tu ada tapi tak tahu nak berlakon. Dia kata kalau minat boleh hantar resume. Saya anggap itu satu penghargaan sebab bukan mudah nak buat orang yang ‘hijau’ macam saya ni dapat pelawaan berlakon daripada pengeluar filem yang aktif," katanya yang mengagumi Aaron Aziz.

Bagaimanapun, dia melupakan niat itu kerana masih belum yakin tetapi beberapa bulan selepas itu, isteri David yang kebetulan berada di tempat sama turut mempelawanya.

Hasil sokongan rakan-rakan, katanya, dia cuba memberanikan diri menghantar resume dan hadir ke sesi uji bakat.

Ujar pelakon yang berasal dari Negeri Sembilan ini, dia mahu mencari ruang baru dalam dunia seni. Kini, dia bersama Dynas Mokhtar dan Azza (Elite) mengendalikan saluran beli-belah, Laku Mall yang bersiaran di Hyypp TV sejak 1 Jun lalu.

“Sebagai orang baru, rasanya tidak salah saya ambil pengalaman dengan explore cabang lain dalam seni selain lakonan. Mujur, pasangan saya ada pengalaman luas dalam lakonan dan pengacaraan," ujar Iskandar yang sebelum ini pernah berkhidmat di cafe Nora Danish selama enam bulan.

Aktor ini juga bakal muncul menerusi drama 16 episod untuk Astro berjudul Mencintaimu Mr.Photographer dan Kasih Yang Hilang di TV3 di samping Izzue Islam dan Wan Gegau (Maharaja lawak).

Optimis pada persaingan

Sementara itu, Iskandar juga berpendapat, persaingan adalah suatu situasi yang sihat untuk mempertaruhkan bakat yang ada.

Tambahnya, meski sudah tiga tahun terlibat dalam  dunia seni, dia masih lagi bertatih untuk merealisasi cita-citanya sebagai pelakon.

“Saya percaya pada rezeki. Kalau rezeki sudah tertulis, sudah pasti tuah itu akan ada. Jadi mahu tidak mahu, saya perlu terus gigih berusaha untuk memberikan yang terbaik.

“Terima kasih juga buat pihak pengurusan yang mengatur perjalanan seni saya dengan baik. Paling penting, saya perlu terus berusaha dan belajar untuk memberikan yang lebih baik setiap masa dari apa yang telah saya persembahkan sebelum ini,” akhiri Iskandar optimis.
ot;1" />
Powered by Blogger.