Berita Terkini
recent

Ihya Ramadan Seniman

MENERUSKAN kelaziman setiap tahun, Persatuan Seniman Malaysia sekali lagi menganjurkan majlis berbuka puasa, Ihya Ramadan Seniman untuk meraikan artis-artis tanah air sempena Ramadan ini.

Majlis yang berlangsung Ahad lalu di Dataran Karyawan Finas ini menyaksikan kehadiran hampir 1,000 jemputan yang terdiri daripada artis dan selebriti, pelajar tahfiz, anak yatim dan golongan asnaf.

Antara artis dan selebriti yang hadir adalah Hail Amir, Hamid Gurkha, Datuk Zulkifli dan Datin Normala, Dr Sam, Mubarak Majd, Joey BPR, Helmi Gimmick dan ramai lagi.

Bukan sahaja acara berbuka puasa, tetapi majlis itu juga turut diserikan dengan pelbagai aktiviti bermanfaat untuk tetamu yang hadir seperti bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh artis dan pelajar-pelajar tahfiz sebagai pembuka majlis.

Tidak ketinggalan juga forum khas yang membincangkan tajuk Hijrah Satu Kemenangan Dalam Ihya Ramadan yang menampilkan bekas penyanyi rock, Mel Wings dan pelakon Adam Corrie sebagai ahli panel dan Imam Muda Nazrul pula bertindak sebagai moderator.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan istimewa dari Mel Wings dan juga kumpulan Marhaban Artis Veteran Malaysia yang terdiri daripada Datuk Yusni Hamid, Normah Damanhuri, Aspalela Abdullah, Norlia Ghani, Ayati Tasrip, Mak Jah dan lain-lain menerusi tiga buah lagu.

Majlis Ihya Ramadan Seniman ini juga dihadiri Tan Sri Noh Omar, Menteri Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang turut membuat pengumuman istimewa tentang kuota perumahan untuk seniman tanah air yang bakal diuruskan Persatuan Seniman Malaysia.

Antara jemputan VIP yang turut hadir adalah Datuk Fauzi Ayob, Ketua Pengarah Finas dan Datuk Fariq, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perdana Ummah dan Puan Wan Salawati, Presiden Rakan Kembara Malaysia.

Mengambil keberkatan Ramadan juga, sedikit sumbangan raya disampaikan kepada golongan artis veteran, pelajar tahfiz, anak yatim dan golongan asnaf yang hadir.

Selain itu, majlis turut menyaksikan tetamu membaca tahlil arwah untuk semua seniman dan seniwati yang telah tiada.

Apa yang istimewanya juga tentang majlis ini adalah acara berbuka puasanya dilakukan dengan cara yang begitu menarik di mana setiap tetamu yang hadir termasuklah tetamu kehormat, jemputan VIP dan golongan artis akan dihidangkan juadah berbuka di dalam dulang dan berkongsi makan bersama-sama.

Ia adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara tetamu yang hadir pada majlis ini selain memberikan kelainan di mana juadah berbuka puasa ini juga telah disediakan oleh golongan artis sendiri.

Sementara itu majlis pada tahun ini turut dimeriahkan dengan gerai jualan artis dan juga penggiat seni tanah air di perkarangan Dataran Karyawan Finas sepanjang majlis berlangsung.
Powered by Blogger.