Berita Terkini
recent

Ibu tunggal dakwa dirogol pemandu GrabCar

Seorang peniaga atas talian berusia 29 tahun mendakwa dirogol pemandu GrabCar ketika menggunakan perkhidmatan itu awal pagi, kelmarin.

Mangsa yang juga ibu tunggal kepada dua anak itu mendakwa menggunakan perkhidmatan tersebut dari sebuah pusat karaoke di Petaling Jaya untuk pulang ke rumahnya di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang menerima laporan daripada mangsa mendakwa dirogol kira-kira jam 4 pagi.

Menurutnya, kejadian berlaku berhampiran rumah mangsa dalam kenderaan Perodua Myvi yang dinaiki ketika itu.

“Mangsa mendakwa tidak melawan kerana berada dalam keadaan mabuk. Selepas kejadian suspek menghantar mangsa pulang ke rumahnya,” katanya.

Polis kemudian memburu suspek dan menahannya kira-kira jam 10 malam hari sama.

Suspek berusia 30 tahun, ditahan di rumahnya di Sungai Buloh, kenderaan dan pakaian ketika kejadian dirampas.

Hasil pemeriksaan, suspek sudah enam bulan berkhidmat sebagai pemandu GrabCar dan mengambil penumpang antara lewat malam hingga awal pagi.

Sementara itu, Bernama melaporkan, GrabCar Malaysia dengan serta merta mengeluarkan pemandu tersebut daripada perkhidmatannya sementara menunggu siasatan polis selesai.
Powered by Blogger.