Berita Terkini
recent

Hafreez Adam Dah Boleh Cakap Hal Peribadi

DULU cakap lain... tapi hari ini pendirian Hafreez Adam yang enggan berkongsi rahsia peribadi sudah berubah.

Hafreez, 27, memberitahu kini lebih terbuka untuk berkongsi kisah peribadinya kepada umum dan tidak berselindung hatinya sudah dimiliki oleh seseorang yang sangat istimewa.

"Memang tidak dinafikan sebelum ini saya ada beritahu tidak mahu berkongsi kisah peribadi secara terbuka untuk mengelakkan fitnah. Namun, lama-kelamaan saya sedar bila menjadi selebriti saya perlu ada sedikit kelonggaran berkaitan soal peribadi.

"Namun masih ada beberapa perkara yang saya tidak boleh terbuka bercerita kepada umum. Kalau ada yang bertanya mengenai kisah cinta, saya akui kini saya sedang bercinta dengan seseorang yang sangat istimewa," kata Hafreez.

Menurut Hafreez, dia tidak boleh mendedahkan lebih lanjut siapa kekasihnya kerana tidak mahu wanita itu dikaitkan dalam dunia hiburan. Namun, Hafreez berkata wanita itu seorang yang sangat memahami kerjaya seninya.

"Bila bercakap soal jodoh ini, saya tak berani nak bercakap lebih-lebih. Takut nanti tak jadi, keluarga juga yang malu. Biarlah orang hanya tahu saya ada kekasih saja.

"Insya-Allah jika hubungan kami sudah ke arah perkahwinan, sudah pasti saya akan kenalkan dia kepada umum," ujar pelakon Hikayat Cinta Si Pencuri Hati.

Berbalik kepada dunia lakonannya, Hafreez kini berehat daripada menjalani sebarang penggambaraan drama dan telefilem. Dia baru saja habis penggambaran untuk telemovie Cinta Cheese Leleh yang akan ditayangkan selepas sambutan Aidilfitri.


Powered by Blogger.