Berita Terkini
recent

Guna alasan penat bekerja

 Tiga pekerja kontraktor beragama Islam dicekup tidak berpuasa dan makan di dalam sebuah lori sambil menghadap laut di Pantai Mempisang di sini, kelmarin.

Malah ketika serbuan pada kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, seorang daripada mereka yang duduk di bahagian penumpang belakang, bertindak membuang bungkusan makanan melalui tingkap selepas menyedari kehadiran anggota Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip).

Bungkusan nasi berlaukkan gulai ayam itu dipercayai dibuang lelaki terbabit bagi mengelak ditahan oleh penguat kuasa yang terdiri daripada 20 anggota dari Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Rompin, Muadzam Shah, Pekan dan Kuantan.



Menurut sumber, tiga lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu bagaimanapun memberikan kerjasama ketika keterangan diambil selain mengaku tidak berpuasa dengan memberikan alasan penat bekerja.

“Ketika soal siasat awal, mereka mengaku makanan  dibeli melalui pintu belakang di sebuah kedai di Endau, Johor,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di sebuah kedai di Bandar Kuala Rompin, penguat kuasa turut menemui dua lelaki sedang duduk bersama secawan air kopi di atas meja.

Sumber berkata,  kedua-dua lelaki berkenaan bagaimanapun tidak mengaku minuman itu milik mereka meskipun pemeriksaan yang dilakukan  mendapati ia masih panas.

“Mereka beritahu minuman itu adalah air yang ditinggalkan di atas meja sejak semalam (Selasa),” katanya.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jaip, Adnan Mamat berkata, kelima-lima lelaki terbabit termasuk pengusaha kedai makan yang dikesan tidak berpuasa atau menjual makanan, diberi amaran supaya tidak mengulangi kesalahan itu.

Katanya, mereka turut diberi nasihat dalam operasi selama tiga jam berakhir 2 petang itu.

“Jaip sentiasa melakukan operasi dan pemantauan di lokasi-lokasi berisiko untuk memastikan aktiviti atau perbuatan yang dilarang pada siang hari bulan Ramadan dapat dikawal atau dicegah.

“Individu yang didapati bersalah boleh didakwa mengikut Seksyen 22 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 kerana tidak menghormati Ramadan," katanya.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama manakala kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“Alasan biasa digunakan individu  ditangkap tidak berpuasa adalah kerana penat bekerja, namun itu bukan sebab untuk membolehkan tidak berpuasa.

“Bagi pengusaha kedai makan pula, elakkan jual makanan kepada kerana boleh didakwa mengikut seksyen yang sama,”  katanya.

Adnan meminta semua umat Islam menghormati bulan Ramadan dengan melaksanakan ibadah itu seperti dituntut agama Islam.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan lokasi amalan tidak berpuasa atau kedai menjual makanan kepada golongan itu agar melaporkan kepada penguat kuasa Paid berhampiran.

“Pada bulan baik yang datang hanya sekali dalam setahun, marilah kita  menjaga kesuciannya dengan melaksanakan segala amalan dituntut dan meninggalkan  larangan ALLAH supaya kita beroleh pahala serta keberkatan,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.