F Gugur pertuduhan terhadap Ammar | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Gugur pertuduhan terhadap Ammar

BARU-baru ini, dilaporkan bahawa seorang pengacara televisyen telah didakwa di Mahkamah Majistret Sibu kerana dikatakan menghina bekas pelari pecut kebangsaan, Watson Nyambek.

Bekas pengacara tersebut, Azizul Ammar Abu Hassan telah didakwa bersama-sama dengan penerbit rancangan tersebut, Abdul Ghani Mohd Mokhtar di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Babak kontroversi itu berlaku di bulan April untuk program televisyen Sukan Tak Sentral. Di dalam program tersebut, Azizul Ammar telah dikatakan menghina bapa Watson Nyambek dengan membuat bunyi seperti seekor kambing semasa menyebut nama penuh Watson.

Walaupun Watson sendiri dilaporkan tidak menonton babak tersebut, beliau telah mendapat tahu daripada orang lain dan merasakan bahawa ucapan itu telah menghina bapanya.


Oleh itu, Watson telah membuat laporan polis terhadap pengacara, rangkaian televisyen yang terbabit, dan juga studio ‘Primeworks Studio’ yang menerbitkan rancangan tersebut.

“Perkara ini sudah mengaibkan saya dan keluarga saya, tindakan tegas perlu diambil, saya mahu polis siasat motif sebenar mereka bertindak demikian," Watson dilaporkan berkata.

Watson juga ada meluahkan hasrat untuk memfailkan saman terhadap pihak-pihak yang terbabit, tetapi setakat ini tidak ada berita tentang apa-apa pemfailan saman sivil oleh Watson.

Pada masa yang sama, pihak rangkaian televisyen, studio dan pengacara yang terbabit juga telah memohon maaf kepada Watson. Tetapi Watson tetap mahu meneruskan tindakan undang-undang.

Babak yang dikatakan menghina itu juga mendapat reaksi negatif orang ramai di internet.

Penulis sudah melihat sendiri babak tersebut. Ia memang suatu babak menghina. Tidak ada sebab mengapa pengacara perlu membuat lawak sebegitu, apatah lagi apabila ia tidak kelakar.

Pihak-pihak yang terbabit harus lebih berhati-hati dalam merangka skrip dan program untuk disiarkan. Itu tidak dinafikan.

Penulis juga faham mengapa Watson begitu berang dan marah terhadap apa yang berlaku. Tidak ada sesiapa wajar mempersoalkan mengapa Watson begitu marah. Pada diri bekas atlit negara itu, babak itu telah mengaibkan dirinya dan nama bapanya.

Setiap manusia ada batas kemarahan mereka dan ada perkara yang mereka tidak dapat terima. Mungkin dalam perkara ini, Watson tidak dapat menerima permohonan maaf mereka. Itu hak Watson.

Seksyen 504 memperuntukkan bahawa barang siapa dengan sengaja mengaibkan, dan dengan jalan demikian mendatangkan kemarahan kepada seseorang, dengan maksud atau dengan mengetahui mungkin bahawa kemarahan itu akan menyebabkan kemarahan awam, atau melakukan apa-apa kesalahan lain, adalah melakukan suatu kesalahan.

Sekiranya didapati bersalah, orang itu boleh dipenjarakan sehingga dua tahun atau dikenakan denda, atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan di bawah Seksyen ini boleh dikatakan suatu pertuduhan yang serius, kerana membawa hukuman penjara.

Penulis tidak mahu mengulas sama ada Azizul Ammar dan Abdul Ghani bersalah atau tidak. Itu perkara yang perlu dibuktikan di Mahkamah kelak.

Persoalan yang ingin penulis utarakan di sini adalah kewajaran mendakwa Azizul Ammar dan Abdul Ghani untuk babak tersebut.

Walaupun babak televisyen itu menghina, ia bukanlah sesuatu yang begitu teruk sehingga perlu campur tangan pihak pendakwa raya dalam membuat pertuduhan tersebut.

Ia bukanlah sesuatu yang mengganggu-gugat ketenteraman awam, ataupun keselamatan dalam negeri. Ia juga tidak memudaratkan nyawa atau harta benda sesiapa.

Ia tidak sopan dan wajar dikecam. Tetapi tugas kerajaan bukanlah untuk memastikan bahawa perasaan orang ramai tidak tersinggung atau terhina, kerana setiap orang punya batas toleransi yang berbeza.

Walaupun babak tersebut menghina Watson dan bapanya, pada masa yang sama adalah tidak wajar untuk pendakwa raya mendakwa Azizul Ammar dan Abdul Ghani.

Oleh itu, penulis berharap pertuduhan terhadap mereka digugurkan sahaja. Biarlah perkara ini diselesaikan oleh Watson dan pihak-pihak yang berkenaan. Watson punya hak untuk bawa saman sivil terhadap mereka.
ot;1" />
Powered by Blogger.