F Gincu Izara Beri 'Godaan' Tersendiri | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Gincu Izara Beri 'Godaan' Tersendiri

Mengikuti aliran semasa golongan artis menceburi dunia perniagaan, aktres berbakat besar, Izara Aishah, 25, juga tidak ketinggalan mengembangkan sayap dengan mengeluarkan rangkaian kosmetik pertamanya, Madame Izara.

Tidak hanya mewakili jenama itu semata-mata, Izara turut bertindak sebagai Pengarah Kreatif.

Dilancarkan pada 15 Jun lalu, Madame Izara yang memperkenalkan koleksi sulungnya, Madame Izara Lipkit mengandungi tiga barangan iaitu krim bibir, liner dan pengasah pada harga mampu milik, RM88.

Kehadiran koleksi kosmetik itu juga menjadi bukti dan penanda aras untuk Izara menghargai peminat serta pengikutnya yang selama ini begitu mengagumi apa sahaja dipakainya termasuk hal membabitkan kecantikan.

Usaha yang dimulakan sekitar hujung tahun 2015 itu juga ternyata membuahkan hasil bagi pihak Izara dan A Klasse Essential diterajui Asyraf Khalid sendiri.

"Semuanya bermula dengan cakap cakap kosong dan angan angan. Akhirnya ia jadi kenyataan juga apabila kami sepakat mahu merealisasikannya dari bawah. Produk ini benar-benar memenuhi semua aspek yang saya inginkan yang selama ini saya harapkan pada produk sama yang lain pernah digunakan. Proses penyediaannya dipiawai dan dititik berat penuh rapi.

"Saya sendiri terbabit daripada proses awal perancangan hinggalah kepada pemilihan tekstur warna krim bibir. Saya memang mahu jadikan ia sebagai koleksi harus dimiliki. Memandangkan ada ramai gadis dan wanita di luar sana yang mahu menjadi seperti saya dan apa yang dipakai, kenapa tidak saya buat sesuatu yang boleh memberi manfaat dan dikongsi kepada semua.

"Selama ini saya juga penggemar produk komersial sama yang lain. Tetapi setiap kali menggunakannya, pasti ada kekurangan yang saya perhatikan. Saya memang cerewet dalam hal itu termasuklah ketika proses menghasilkan rangkaian kosmetik ini. Saya mahu hasilnya yang terbaik dan bukan setakat tangkap muat atau asal boleh,” katanya.

..

Mengenai pemilihan lipstik sebagai tunjang utama yang memperkenalkan koleksi kosmetiknya itu, Izara menyifatkan item berkenaan antara yang menjadi pelengkap wajib bagi golongan wanita.

"Wanita dan gincu bagai tak dapat dipisahkan. Untuk permulaan ini kami memperkenalkan tiga warna asas dengan tiga nama berbeza iaitu Luth, Noah dan Harith. Saya juga mahu mengangkat nama lelaki Melayu untuk koleksi ini yang jarang sekali diangkat jenama lain. Siapa tahu, selepas ini ada koleksi eksklusif nama Adib pula (merujuk kepada teman istimewanya).

"Ketika penggambaran termasuk drama Dia yang saya sedang lunaskan baki penggambarannya pun, sudah saya pakai jenama sendiri ini. Kalau ditanya pilihan paling istimewa saya, Noah memberikan 'godaan' tersendiri,” katanya.

Menyokong kempen mempromosikan produk kosmetik keluarannya itu juga, pelakon jelita itu juga akan muncul dalam drama web bersiri, bulan depan. Drama web bersiri dipanggil Madame's Diary itu akan memaparkan realiti Izara menjalankan tugas sebagai Pengarah Kreatif di Syarikat A Klasse selain perjalanan hidupnya sebagai insan seni.

"Penggambaran drama web ini akan dilakukan tak lama lagi. Setiap episod akan mempunyai durasi antara lima hingga 10 minit.

"Saya teruja menantikannya. Ia boleh ditonton di laman sesawang, www.madameizara.com. Episod pertama dijadual disiarkan pada 1 Julai depan," katanya.

Tak hanya di situ, Izara yang mempunyai latar belakang dalam Seni Persembahan di sebuah kolej turut berjinak-jinak mengarahkan rakaman video pendek dan teaser mempromosikan Madame Izara. Bakatnya dalam hal berkenaan boleh dinilai sendiri terhadap video promosi itu yang sudah mula dikongsi di laman sosialnya.

Penggambaran video dan teaser terbabit dilakukan selama sehari di Bukit Antarabangsa dan sekitar Cameron Highland.

"Selain mengarah, saya turut menggunakan bakat muda yang masih segar terutama yang baru menamatkan pengajian membantunya di belakang tabir. Saya percaya bakat muda seperti ini perlu diberi peluang untuk berkarya.

"Namun untuk saya mengarah karya besar seperti filem itu masih terlalu jauh untuk digambarkan. Mungkin filem pendek saya boleh pertimbangkan. Buat masa sekarang kalau setakat video durasi pendek tanpa jalan cerita dan suka-suka termasuk melakukan penyuntingan sendiri, bolehlah saya lakukan.

"Siapa tahu pada masa mendatang dan sudah jitu keyakinan, saya akan berada di kerusi pengarah secara komersial pula,” katanya bersemangat

Izara kini sedang melunaskan penggambaran drama Dia yang menyaksikan kerjasama produksi tempatan dan Indonesia. Selain Izara, drama itu turut dibintangi Janna Nick, Irwansyah dan Adi Putra.

Produk Madame Izara boleh didapati menerusi agen dan stokis di seluruh Malaysia. Untuk info lanjut boleh layari www.madameizara.com.

Powered by Blogger.