Berita Terkini
recent

Gerai Mat Dan, isteri kena serbu

Kemunculan pengacara televisyen, Muhamed Kareef Daniel Abdullah atau lebih dikenali sebagai Mat Dan yang berniaga di Car Food Sahur 2017, Batu Buruk, di sini bersama isterinya, Nadifa Adnan menarik kunjungan ramai untuk beriadah di situ sambil menikmati juadah sahur.

Mat Dan berkata, pengalaman berkunjung ke program santai itu pada tahun lalu membuatkan beliau terpanggil untuk berniaga memandangkan jadual kerjanya tidak begitu padat sepanjang Ramadan.

“Ini adalah merupakan percubaan pertama saya dan isteri berniaga sebegini dan kami gembira apabila bihun goreng dan kuih ropa yang dijual di gerai Kedai Kite laris dalam tempoh sejam sahaja.

“Memandangkan sambutan diterima begitu menggalakkan, malam tadi, ibu mertua saya memasak sehingga enam bungkus bihun bagi memenuhi permintaan pelanggan berbanding hanya empat bungkus yang diperuntukkan untuk setiap malam,” katanya.

Sementara itu, wakil penganjur, Aril Arif Abdul Razak berkata, sambutan yang diterima tahun ini lebih memberangsangkan berbanding dua tahun sebelum ini apabila jumlah pengunjung mencecah 1,000 orang dalam tempoh dua jam beroperasi.

“Peningkatan pelanggan sebanyak dua kali ganda ini sedikit sebanyak didorong oleh keterujaan mereka untuk bertemu Mat Dan serta isterinya.

“Tahun ini memang kita dapat rasai kemeriahan yang berbeza dengan kehadiran personaliti ini yang mana kita dapat lihat mereka menjadi salah satu tarikan pengunjung untuk membeli juadah dan bersahur di sini,” katanya.

Beliau berkata, program tahun ketiga yang dianjurkan Komuniti Car Food Sale Kuala Terengganu itu menggunakan pendekatan berbeza kerana orang ramai menikmati hidangan masing-masing secara duduk bersila.

“Kita masih meneruskan konsep sama iaitu orang ramai menikmati hidangan masing-masing secara duduk bersila beramai-ramai, cuma tahun ini kita lebih selektif apabila memfokuskan makanan tradisi tempatan dan antara menu yang dijual adalah pulut gaul nyior, keropok lekor, kuih-muih, nasi minyak serta nasi lemak.

“Alhamdulillah, sambutan diterima sangat meriah terutama pada hujung minggu dan pengunjung yang hadir akan turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh kumpulan KT Busker,” katanya.

Aril Arif berkata, selain berniaga, mereka juga membuat kerja amal dengan menyumbangkan keuntungan yang diperoleh bagi membantu golongan memerlukan.
Powered by Blogger.