Berita Terkini
recent

Garap karya dari istana

Cerita Puteri Saadong adalah sebuah naskhah yang sudah lama dinantikan untuk diangkat ke pentas bangsawan.

Apatah lagi, ia kisah sejarah legenda tersohor Kelantan mengenai Puteri Saadong, anakanda angkat kepada pemerintah Kelantan ketika itu, Cik Siti Wan Kembang.

Atas hasrat itu, Tengku Harun Al Rashid Tengku Alias, kerabat diraja Kelantan selaku penerbit, menggerakkan pementasan bangsawan itu bersama Anak Seni Pendidikan Kelantan (ASPEK) serta Persatuan Solidariti Seni Budaya dan Warisan Malaysia (Solidariti Seni).

Mereka turut bekerjasama dengan Universiti Teknologi MARA cawangan Kelantan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur serta pihak Kerabat Istana Negeri Kelantan dan Pengelola Istana D’Raja (PID) bagi menjadikan Kota Bharu, Kelantan sebagai destinasi pertama pementasan ini pada 5 Mei lalu.

Aktivitis teater terkenal Kelantan, Zack Zaideen diberi tanggungjawab selaku penulis skrip dan pengarah Bangsawan Diraja Puteri Saadong ini.

Dia mengakui perlu berhati-hati dan merujuk banyak bahan sejarah yang boleh dipercayai dan diyakini bagi menyiapkan sebuah naskah hebat mengangkat cerita legenda yang sudah sebati dengan jiwa serta kehidupan masyarakat Melayu khasnya rakyat Kelantan.

“Kebetulan Tengku Harun mempunyai sebuah buku yang ditulis oleh ayahandanya, Tengku Elias Mahamood bertajuk ‘Sistem Pemegang Adat Dan Undang-Undang Mengenai Tanah Di Negeri-Negeri Melayu’.

“Buku ini menjadi salah satu bahan rujukan saya menyiapkan skrip bangsawan Puteri Saadong. Pelbagai pengalaman dan rujukan yang saya kutip, saya sisipkan di dalam karya ini agar menjadi sebuah cerita legenda sejarah yang dapat diterima kebenarannya,” katanya.

Menurutnya, mementaskan sebuah karya bangsawan bukan perkara mudah kerana sudah pasti mempunyai pelbagai elemen yang harus dipatuhi dalam setiap persembahan.

“Tambahan pula apabila dipentaskan di sebuah hotel, maka keterbatasan dalam berkarya menjadi satu halangan yang perlu ditangani.

“Namun berkat kesungguhan barisan kru dan pelakon, semua kekangan itu dapat diatasi dan menjadikan persembahan ini hebat dan diingati penonton yang hadir,” katanya.

Memori indah turut tercipta apabila persembahan ini turut disaksikan Datuk Hajah Tengku Salwani Sultan Yahaya Petra selaku tetamu kehormat bersama anakandanya, Tengku Amir dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed serta Presiden Seniman, Zed Zaidi.

Pementasan yang diterajui Avieza Tg Aaron selaku Penerbit Eksekutif dan Pengurus Acara menampilkan hampir 100 tenaga produksi termasuk barisan pelakon terkenal antaranya Amar Asyraf yang membawakan watak Raja Abdullah dan Wan Hanafi Su sebagai Raja Loyor.

Tidak ketinggalan bakat baru iaitu Dyna Lova yang membawa watak utama sebagai Puteri Saadong, Sawas Haida (Cik Siti Wan Kembang), Muhamad Maaruf (Raja Bahar), Haddi Al Haq (Penghulu Ngah Jembal) serta beberapa pelakon lain.

Zack gembira dengan komitmen dan kesungguhan pelakon serta kru dalam membantu mengatasi masalah dan kekurangan ketika pementasan ini.

“Biarpun hanya beraksi di hotel, mereka berjaya menterjemahkan karya saya yang mendapat komen positif dan pujian hadirin pada malam itu.

“Ia sekali gus memberikan semangat untuk saya membawa pementasan Bangsawan Diraja Puteri Saadong ke Kuala Lumpur pada Ogos ini,” katanya.

Kesediaan penaja yang bersetuju untuk menaja sepenuhnya persembahan di Kuala Lumpur juga menjadi perangsang untuk mereka memberikan yang terbaik.

“Kami sudah buat gerak kerja bagi memantapkan lagi persembahan serta memberi nilai tambah kepada naskhah dan persembahan keseluruhan di sana nanti,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.