Berita Terkini
recent

Fareez 'enjoy' berlakon

Jika sebelum ini, juara Mentor Milenia 2016, Fareez Fauzi lebih dikenali sebagai penyanyi, namun dia turut serasi dalam bidang lakonan.

Fareez berkata, dia bakal muncul dengan filem pertamanya berjudul Badang, November ini.

“Ia filem pertama saya dan tentunya rasa sangat teruja,” katanya.

Menurut Fareez yang juga anak kepada pelakon Fauzi Nawawi, bidang lakonan lebih mencabar berbanding nyanyian.

“Saya akui lakonan lebih sukar dan mencabar kerana lebih penat berbanding menyanyi. Dalam filem itu, saya melakonkan watak jahat dan perlu melakukan beberapa babak aksi.

“Semua aksi saya lakukan sendiri tanpa pelakon lagak ngeri. Walaupun sukar, saya ‘enjoy’ berlakon dan harapnya menerusi lakonan saya akan dapat lebih publisiti,” katanya.

Ditanya mengenai pengalamannya bekerja dengan bapanya, Fareez memaklumkan bapanya seorang yang tegas ketika berada di set.

“Di set, dia tidak menganggap saya sebagai anak dan melayan seperti pelakon lain.

“Memang dia tegas dan garang, tetapi dia banyak memberikan idea dan saya sendiri akan terokai idea itu ke dalam watak,” katanya.

Ditanya sama ada selepas ini, peminat akan berpeluang melihat lakonannya dalam karya lain, Fareez berkata, itu tidak mustahil.

“Saya akan terima sekiranya ada tawaran untuk watak aksi. Bapa dan ibu saya juga tidak memaksa, sebaliknya sentiasa menyokong kalau itu minat saya,” katanya.

Terbaru, penyanyi lagu Ku Ingin Kau Tahu ini juga turut membuat kemunculan dalam drama bersiri berjudul Cinta.

“Dalam drama itu, saya buat kemunculan istimewa dan antara pelakon lain yang terbabit ialah Nazim Othman. Selain itu, lagu nyanyian saya dengan judul sama turut menjadi OST drama bersiri itu,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan sempena Aidilfitri, Fareez kini banyak menerima tawaran membuat persembahan.

“Alhamdulillah, dengan adanya tawaran persembahan sedikit sebanyak membantu untuk persiapan Aidilfitri saya.

“Selain itu, sepanjang Ramadan ini juga, saya akan terbabit dengan beberapa acara antaranya, majlis berbuka puasa di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur bersama Monkey Bone,” katanya.
Powered by Blogger.