Berita Terkini
recent

EXO tiada strategi rahsia

Kejayaan global yang dicipta kumpulan EXO dari Korea Selatan memang tidak perlu disangkal. Fenomena kumpulan itu seakan-akan tiada hujungnya.

Kejayaan demi kejayaan mengiringi kembara seni kumpulan dianggotai Xiumin, Suho, Lay, Baekhyun, Chen, Chanyeol, D.O, Kai dan Sehun itu selain terus meraih perhatian jutaan peminat.

Entah apa rahsia kejayaan mereka, yang pasti EXO mencetuskan inspirasi kepada kumpulan baru. Bahkan, EXO menjadi penanda aras terbaik untuk berjaya dalam arena hiburan Korea.

Menurut Chanyeol yang ditemui RAP bersama Suho dan Sehun baru-baru ini, tiada strategi rahsia yang jadi pegangan mereka selama ini. Segala kejayaan dicapai adalah hasil usaha bersama sebagai satu kumpulan.

“Tiada resipi rahsia, cuma ikatan yang kukuh antara kami selama ini menjadi kekuatan EXO. Persahabatan yang erat memberikan kami semangat untuk terus berjuang.

“Saling menyokong antara satu sama lain juga menjadikan kami sentiasa mahu maju ke hadapan. Ia sekali gus membuatkan prestasi kerja kami meningkat,” katanya.

Sebut aspek muzik, EXO berada di kedudukan paling selesa. Malah kehebatan mereka diperakui pelbagai pihak, bukan sahaja di Korea Selatan bahkan negara luar.

Selain itu, mereka berkolaborasi dengan ramai bintang terkenal dan berharap dapat bekerjasama dengan band terkemuka dari United Kingdom, Coldplay suatu hari nanti.

“Baru-baru ini kami menghadiri konsert jelajah Coldplay. Mereka sangat hebat di atas pentas dan kami sangat mengagumi mutu persembahan yang ditonjolkan.

“Jika ada peluang, kami mahu bekerjasama dengan mereka,” kata Sehun.

Berkongsi mengenai jadual seni EXO, Sehun memaklumkan ia penuh sehingga hujung tahun ini.

“Kami akan kembali ke studio untuk merakamkan album baru. Selain itu, kami akan menjelajah ke serata dunia menjayakan pelbagai konsert,” katanya.

Gamatkan Singapura

Meskipun ada sebuah acara muzikal berlangsung di Singapura sewaktu kunjungan EXO, ia sedikit pun tidak menggugat kesetiaan peminat terhadap kumpulan itu.

Membuat kemunculan khas pada acara Skechers Sweet Monster K-Pop Dance Competition, kehadiran EXO menggamatkan suasana.

Bahkan, sebaik sahaja Chanyeol, Suho dan Sehun muncul, sorakan bergema memenuhi ruangan itu.

Pertandingan anjuran jenama kasut Skechers itu diadakan bagi mencungkil bakat penari muda. Ia disertai enam kumpulan dari Malaysia, Singapura dan Thailand.

Sebagai duta Skechers, kehadiran EXO pada acara itu menjadi pemangkin semangat peserta untuk mempamerkan persembahan luar biasa.

Apa yang pasti, empat juri iaitu Dennis Yin, Derrick Hoh, Jojo Hung dan Felix Huang sukar menentukan kumpulan manakah yang layak dinobatkan sebagai juara.

Paling membanggakan, kumpulan dari Malaysia iaitu Virus Ladies dijulang dijulang sebagai pemenang sementara STARRE (Singapura) di tempat kedua dan K-Boy (Thailand) di tempat ketiga.

Menurut Presiden Skechers Asia Tenggara Vincent Leung, pertandingan akhir itu mencapai sasaran.

“Pertandingan ini berjaya melakar satu lagi sejarah baru. Kehebatan yang ditunjukkan setiap kumpulan yang bertanding wajar dipuji. Mereka sangat luar biasa dan berbakat besar.

“Meskipun sukar untuk memutuskan kumpulan manakah yang bakal membawa pulang hadiah utama, kreativiti Virus Ladies berjaya menarik perhatian barisan juri dan penonton,” katanya.
Powered by Blogger.