F Eqy buru variasi watak EQY. | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Eqy buru variasi watak EQY.

Bakatnya sebagai pelakon pernah digilap pengarah prolifik Osman Ali. Sejak itu pendatang baru Sidqy Hamdi Ahmad Afandi, 27, atau mesra disapa Eqy, semakin teruja menjinakkan diri dalam bidang seni.

Tiada pengalaman mahupun asas lakonan secara formal, namun berbekalkan bakat terpendam, ia tidak menghalang semangat pemegang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrik itu untuk mara sebagai pelakon.

Hampir dua tahun menapak dalam bidang seni, Eqy turut berkongsi pengalaman kurang enak dua kali ditipu syarikat produksi yang menawarkannya watak utama membintangi filem.

Namun begitu, pengalaman itu sedikit pun tidak membuat dia serik untuk terus bergelar anak seni yang berkaliber suatu hari nanti.

“Saya anggap pengalaman ditipu lebih mematangkan diri dalam menilai orang sekeliling di samping membuatkan saya lebih kuat untuk terus berada di sini.

“Tiada istilah putus asa atau kecewa sebaliknya saya semakin semangat untuk terus kekal di sini kerana inilah jalan yang saya pilih,” katanya yang akan menyambut Aidilfitri di Kodiang, Kedah.

Eqy turut pernah terbabit menjayakan drama bersiri kepolisan iaitu Gerak Khas. Tidak kisah ditawarkan apa juga watak, baginya sebagai pelakon itu adalah kepuasan yang diharapkan oleh semua.

“Saya masih baru dalam bidang lakonan, jadi banyak lagi yang perlu dipelajari, kerana itulah tidak kisah ditawarkan apa juga watak.

“Kalau mencabar lebih bagus kerana ia memberi impak pada lakonan untuk masa akan datang,” katanya yang meminati motosikal berkuasa besar.

Selain Gerak Khas, Eqy juga turut menjayakan drama siri 30 episod untuk saluran Hypp TV bertajuk Ana Cleopatra.

Berkongsi artis yang sering menjadi rujukan dalam lakonan, Eqy mengagumi Datuk Rosyam Nor yang dilihatnya seorang pelakon ‘versatile’ iaitu serba boleh.

“Saya gemar menonton filem dan drama lasak. Saya tidak kisah melakonkan peranan baik atau antagonis kerana kedua-duanya pasti mencabar,” ujarnya yang rajin ke gimnasium untuk menjaga bentuk badan.

Bagi yang ingin mengenali Eqy dengan lebih dekat, mereka boleh berkomunikasi dengannya di laman Instagram eqyafandi7.

Powered by Blogger.