F Edika Yusof Jadi Model Tampung Perbelanjaan Sekolah | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Edika Yusof Jadi Model Tampung Perbelanjaan Sekolah

Ketampanan wajah Edika Yusof sering menarik perhatian ramai, malah kerana wajah itu jugalah dia mendapat tawaran untuk bergelar bintang peragaan seawal usia 16 tahun sehingga berjaya meletakkan namanya sebaris dengan model-model popular pada era 1980an.
Edika, 50,  memulakan kerjayanya dalam bidang peragaan sekitar tahun 1983 apabila dia secara random mendapat peluang untuk menyertai sesi uji bakat setelah pihak yang terbabit dalam bidang peragaan  tertarik dengan ketampanan dan personaliti yang dimiliki.
“Saya pertama kali muncul sebagai model ketika tingkatan empat menerusi iklan komersial jeans Wrangler yang pada ketika itu merupakan satu jenama yang cukup popular dan menjadi kegilaan orang ramai.

“Untuk penampilan tersebut saya menerima bayaran sebanyak RM1500 dan jumlah itu terlalu besar untuk ketika itu, apatah lagi saya masih lagi bersekolah.

“Bayaran itu juga sebenarnya menjadi motivasi awal untuk saya terus terlibat dalam bidang peragaan kerana merasakan itu peluang terbaik saya mencari duit poket dan menampung perbelanjaan sekolah,” katanya.
Meskipun pada awalnya penglibatannya dalam peragaan ini hanya suka-suka, namun akhirnya ia menjadi minat yang mendalam sehingga akhirnya memilih bidang ini sebagai kerjaya tetap selepas tamat persekolahan.
“Saya sendiri pun sebenarnya tak sangka akan bina kerjaya dalam bidang peragaan pada awalnya, tetapi peluang yang ada ketika itu membawa rezeki berterusan pada saya.

“Lagipun rakan-rakan seangkatan ketika itu seperti Kavita Kaur banyak memberi galakan dan kami gembira dengan pengalaman bekerja dalam bidang ini.

“Saya juga mengenali Tiara Jacquelina ketika di set penggambaran dan kemudiannya banyak bekerjasama dengannya,” imbasnya.
Sehingga kini Edika telah muncul dalam puluhan iklan komersial selain membuat persembahan di ratusan pentas peragaan dalam dan luar negara.
Popularitinya sebagai model iklan komersial juga turut membawa Edika mengembangkan bakatnya dalam cabang seni lakonan apabila ditawarkan untuk berlakon filem Pelumba Malam pada tahun 1989.
“Saya sebenarnya memang tidak ada bakat langsung dalam bidang lakonan, namun kerana tidak mahu menghampakan rakan-rakan yang mahu melihat saya terlibat dalam bidang lakonan, saya terima cabaran itu.

“Sebenarnya Erma Fatima adalah orang yang bertanggungjawab membawa saya ke dalam bidang lakonan di mana suatu hari dia tiba-tiba bawa saya berjumpa dengan pengarah dan pada hari yang sama jugalah saya terus sain kontrak.

“Memang lucu jugalah bila ingat balik macamana saya mula terlibat dalam bidang lakonan ini, tapi itu hanyalah menjadi penyebab kerana rezeki saya barangkali memang dalam bidang ini,” akui Edika lagi.
Antara filem lakonan Edika adalah Pelumba Malam, X-Xtray, Driving School, Awas dan  Maria Mariana yang telah menaikkan namanya sebagai pelakon popular.

Mengimbas kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika meniti zaman popularitinya lebih 20 tahun lalu, Edika menganggap dirinya bertuah kerana mempunyai ramai peminat yang menyokong kerjaya seninya.
Meski digilai ramai peminat wanita yang tertarik dengan ketampanan wajah dan personaliti yang yang dimilikinya, pelakon yang terkenal dengan sikap rendah dirinya ini tidak  pernah mengambil kesempatan atas situasi itu.
“Terlalu banyak kenangan manis bila sebut tentang peminat di mana dari awal saya berada dalam bidang seni, terutamanya dalam bidang lakonan mereka sentiasa memberikan sokongan kepada saya.

“Paling lucu yang saya ingat bila ramai peminat yang suka sangat nak belanja saya, tidak kiralah belanja makan atau belanja barang-barang sampai ada yang tawarkan diri nak bawa saya pergi shopping.

“Apapun saya tidak pernah mengambil kesempatan sebaliknya menolak secara baik, malah kalau mereka mahu juga saya lebih selesa pergi beramai-ramai dengan peminat yang lain juga untuk membolehkan saya berlaku adil pada yang lain,” akuinya sambil ketawa kecil.
Setelah lebih 20 tahun meninggalkan bidang seni, Edika baru-baru ini membuat kemunculan semula menerusi supertele Permata Hati dan seterusnya membintangi drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati.
“Selepas meninggalkan dunia seni, saya banyak menumpukan perhatian kepada keluarga dan perniagaan saya dalam bidang reka letak dan percetakan yang telah diusahakan semenjak beberapa tahun  lalu.

“Namun selepas berjumpa dengan rakan lama saya, Datuk Shah Rezza, dia menawarkan saya untuk kembali berlakon menerusi projek terbitan produksinya.

“Pada mulanya memang saya cuba elakkan kerana jujurnya sya tidak mempunyai masa kerana terikat dengan banyak tanggungjawab, namun apabila dia begitu bersungguh malah sanggup mengikut jadual saya, maka saya bersetuju untuk mengambil tawaran ini,” ujar bapa kepada tiga orang anak ini lagi.

Powered by Blogger.