F Edika Yusof bina populariti tersendiri | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Edika Yusof bina populariti tersendiri

KETAMPANAN wajahnya sering menarik perhatian ramai, malah kerana wajah itu jugalah dia mendapat tawaran untuk bergelar bintang peragaan seawal usia 16 tahun sehingga berjaya meletakkan namanya sebaris dengan model-model popular pada era 1980-an.

Edika Yusof, 50, memulakan kerjayanya dalam bidang peragaan sekitar tahun 1983 apabila dia secara random mendapat peluang untuk menyertai sesi uji bakat setelah pihak yang terbabit dalam bidang peragaan  tertarik dengan ketampanan dan personaliti yang dimiliki.

“Saya pertama kali muncul sebagai model ketika tingkatan empat menerusi iklan komersial seluar jeans Wrangler yang pada ketika itu merupakan satu jenama yang cukup popular dan menjadi kegilaan orang ramai.


“Untuk penampilan tersebut saya terima bayaran RM1500 dan jumlah itu terlalu besar ketika itu, apatah lagi saya masih lagi bersekolah.

“Bayaran itu juga sebenarnya jadi motivasi awal untuk saya terus terlibat dalam bidang peragaan kerana merasakan itu peluang terbaik saya mencari duit poket dan menampung perbelanjaan sekolah,” katanya.

Meskipun pada awalnya penglibatannya dalam peragaan ini hanya suka-suka, namun akhirnya ia menjadi minat yang mendapat sehingga akhirnya memilih bidang ini sebagai kerjaya tetap selepas tamat persekolahan.

“Saya sendiri pun sebenarnya tak sangka akan bina kerjaya dalam bidang peragaan pada awalnya, tetapi peluang yang ada ketika itu membawa rezeki berterusan pada saya.

“Lagipun rakan-rakan seangkatan ketika itu seperti Kavita Kaur banyak memberi galakan dan kami gembira dengan pengalaman bekerja dalam bidang ini.

“Saya juga mengenali Tiara Jacquelina ketika di set penggambaran dan kemudiannya banyak bekerjasama dengannya,” imbasnya.

Sehingga kini Edika telah muncul dalam puluhan iklan komersial selain membuat persembahan di ratusan pentas peragaan dalam dan luar negara.

Popularitinya sebagai model iklan komersial juga turut membawa Edika mengembangkan bakatnya dalam cabang seni lakonan apabila ditawarkan untuk berlakon filem Pelumba Malam pada tahun 1989.

“Saya sebenarnya memang tidak ada bakat langsung dalam bidang lakonan, namun kerana tidak mahu menghampakan rakan-rakan yang mahu melihat saya terlibat dalam bidang lakonan, saya terima cabaran itu.

“Sebenarnya Erma Fatima adalah orang yang bertanggungjawab membawa saya ke dalam bidang lakonan di mana suatu hari dia tiba-tiba bawa saya berjumpa dengan pengarah dan pada hari yang sama jugalah saya terus sain kontrak.

“Memang lucu jugalah bila ingat balik macam mana saya mula terlibat dalam bidang lakonan ini, tapi itu hanyalah menjadi penyebab kerana rezeki saya barangkali memang dalam bidang ini,” akui Edika lagi.

Kembali berlakon

Tidak hanya bersandarkan kepada ketampanan yang dimiliki, Edika mengakui sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri agar hasil kerjanya sentiasa berkualiti dan tidak mengecewakan mereka yang menaruh kepercayaan kepadanya.

“Saya tiada masalah untuk berada di depan kamera kerana sudah biasa dengan komersial sebelum itu, cuma dari segi dialog dan penghayatan memang rakan-rakan lain banyak bantu.        


“Pada mulanya memang agak susah jugalah nak berlakon kerana saya tidak mempunyai pengalaman sebagaimana orang lain, namun bila hari-hari kita belajar dan perbaiki kelemahan lama-lama ia makin OK.

“Sama juga dalam bidang peragaan, lakonan juga kemudiannya menjadi minat saya selepas itu di mana bukan sahaja filem, tetapi saya juga aktif berlakon lebih 30 buah drama dan telefilem,” katanya yang sering diberikan watak sebagai hero.

Antara filem lakonan Edika adalah Pelumba Malam, X-Xtray, Driving School, Awas dan Maria Maria Mariana yang telah menaikkan namanya sebagai pelakon popular.


Mengimbas kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika meniti zaman popularitinya lebih 20 tahun lalu, Edika menganggap dirinya bertuah kerana mempunyai ramai peminat yang menyokong kerjaya seninya.

Meskipun digilai ramai peminat wanita yang tertarik dengan ketampanan wajah dan personaliti yang yang dimilikinya, pelakon yang terkenal dengan sikap rendah dirinya ini tidak  pernah mengambil kesempatan atas situasi itu.

“Terlalu banyak kenangan manis bila sebut tentang peminat di mana dari awal saya berada dalam bidang seni, terutamanya dalam lakonan mereka sentiasa memberikan sokongan kepada saya.

“Paling lucu yang saya ingat bila ramai peminat yang suka sangat nak belanja saya, tidak kiralah belanja makan atau belanja barang-barang sampai ada yang tawarkan diri nak bawa saya pergi shopping.

“Apa pun saya tidak pernah mengambil kesempatan sebaliknya menolak secara baik, malah kalau mereka mahu juga saya lebih selesa pergi beramai-ramai dengan peminat yang lain juga untuk membolehkan saya berlaku adil pada yang lain,” akuinya sambil ketawa kecil.


Setelah lebih 20 tahun meninggalkan bidang seni, Edika baru-baru ini membuat kemunculan semula menerusi supertele Permata Hati dan seterusnya membintangi drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati.

“Selepas meninggal dunia seni, saya banyak menumpukan perhatian kepada keluarga dan perniagaan saya dalam bidang reka letak dan percetakan yang telah diusahakan semenjak beberapa tahun  lalu.

“Namun selepas berjumpa dengan rakan lama saya, Datuk Shah Rezza, dia menawarkan saya untuk kembali berlakon menerusi projek terbitan produksinya.

“Pada mulanya memang saya cuba elakkan kerana jujurnya saya tidak mempunyai masa kerana terikat dengan banyak tanggungjawab, namun apabila dia begitu bersungguh malah sanggup mengikut jadual saya, maka saya bersetuju untuk mengambil tawaran ini,” ujar bapa kepada tiga orang anak ini lagi.
ot;1" />
Powered by Blogger.