F Doktor nasihat Dafi elak ambil ubat kurus | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Doktor nasihat Dafi elak ambil ubat kurus

Penyanyi dan pelakon, Dafi mengakui sebegai seorang selebriti dia amat mementingkan penampilan diri termasuk berat badan yang sentiasa mudah menarik perhatian ramai.
Jika sebelum ini, pengambilan ubat kurus menjadi amalan Dafi dalam mendapatkan berat badan yang dimahukan, kini Dafi beralih arah dengan cara lebih sihat atas nasihat doktor.
Semenjak dua bulan lalu, Dafi mula melibatkan diri dengan aktiviti seni bela diri Muay Thai untuk tampil lebih sihat dan dalam masa yang sama mendapatkan berat badan yang ideal untuknya.
“Apabila menjadi selebriti dan perlu bekerja di depan kamera, mahu tidak mahu kita perlu mengambil berat tentang penampilan diri termasuklah berat badan yang sentiasa menjadi perhatian orang.

“Untuk tujuan itu selama tujuh tahun saya bergantung kepada pengambilan pelbagai jenis ubat kurus untuk mendapatkan berat badan yang saya mahukan tanpa mempedulikan kesannya kepada kesihatan saya.

“Bayangkan saya sudah mengambil ubat kurus semenjak dari berumur 16 tahun sehinggalah beberapa tahun selepas itu  apabila doktor menasihati saya untuk berhenti berbuat demikian kerana ia tidak baik untuk kesihatan saya,” ceritanya.
Menurutnya lagi, disebabkan berat badannya naik secara mendadak selepas memberhentikan pengambilan ubat kurus, dia mencari kaedah lain untuk menurunkan  kembali berat badannya.
“Selama mana saya boleh tahan untuk dengar orang keliling asyik tegur tentang berat badan saya, jadi saya cuba cari kaedah lain untuk menguruskan badan sehinggalah disarankan untuk mengikuti kelas Muay Thai.

“Sekarang sudah masuk dua bulan saya melakukan aktiviti ini di mana saya memperuntukkan masa selama satu hingga satu setengah jam sebanyak lima kali seminggu mengikuti kelas dan alhamdulillah berat badan saya berjaya diturunkan.

“Sekarang baru saya sedar, banyak cara lain yang lebih sihat boleh dilakukan untuk menguruskan badan berbanding cara mudah tetapi berisiko seperti pengambilan ubat kurus,” akui Dafi.

Berkongsi tentang kerjaya seninya, kata Dafi, dia kini sedang giat mempromosikan single terbarunya, Girl, yang telah dilancarkan beberapa bulan lalu.
Teruja dengan sambutan memberangsangkan dari peminat terhadap lagu yang turut menjadi lagu tema drama ini, Dafi kini sedang merancang untuk menerbitkan sebuah muzik video istimewa untuk lagu ini.
“Dulu saya pernah cakap, jika video lagu ini mendapat sejuta tontonan di youtube, saya mahu buat sebuah muzik video khas untuk lagu ini.

“Lebih istimewa saya mahu memberikan peluang kepada dua orag peminat untuk turut serta dalam pembikinan muzik video ini sebagai penghargaan buat mereka yang banyak memberikan sokongan kepada saya selama 10 tahun saya dalam bidang seni,” kata Dafi yang dicungkil bakatnya menerusi program Akademi Fantasia musim kelima.
Selain memberi fokus kepada bidang nyanyian, Dafi juga bergiat aktif dalam dunia lakonan terutamanya di pentas teater yang disifatkannya sebagai ruang untuknya mengasah bakat lakonan.
Antara teater yang pernah menampilkan Dafi di pentas adalah Dream Girls, Di Bawah Lindungan Kaabah, Maduku Kalut Returns, Mak Cun, Dia semanis Honey dan lain- lain.
“Mula-mula dulu saya agak takut dan beraksi di pentas, tetapi bila sudah selalu buat dan belajar banyak perkara, saya mula rasa seronok dan kalau boleh mahu terus aktif dalam lakonan pentas.

“Kini hampir setiap tahun saya akan terlibat dengan satu atau dua projek teater dan kalau boleh mahu terus kekalkan momentum itu kerana dunia lakonan pentas banyak mendedahkan saya kepada benda-benda baru yang sangat menyeronokkan.

“Awal Januari lalu saya terlibat dengan teater Dia Semanis Honey dan kalau ada kesempatan saya berharap untuk tampil dengan sebuah lagi naskhah pentas hujung tahun ini,” ujarnya.
ot;1" />
Powered by Blogger.