Berita Terkini
recent

DJ Lin dipaksa bercuti

OLEH kerana terlalu gigih bekerja, penyampai SuriaFM, DJ Lin mengakui tidak pernah meluangkan masa berbuka puasa bersama keluarga terutama dua anaknya, Nureen Aresya dan Nazren Asyran sejak 17 tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas dipujuk teman sepejabat, DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, akhirnya bercuti pada 1 hingga 4 Ramadan lalu.

“Saya dipaksa ambil cuti dan dapatlah berbuka puasa bersama ibu, adik-beradik dan anak-anak.

“Alhamdulillah, inilah pertama kali saya berbuka bersama mereka. Saya ni memang kuat bekerja, rasa berat nak tinggal segmen Suria Cinta,” katanya kepada Media Hiburan ketika ditemui di majlis pelancaran Suria FM Segalanya Lebih Bermakna, baru-baru ini.

Kesempatan itu juga disambut meriah ibu dan adik-beradiknya ketika pulang ke kampungnya di Larkin, Johor Bharu.

Ceritanya lagi, ibunya terkejut kerana dia sanggup mengorbankan kerja malah terus memaklumkan kepada adik beradik lain.

Kata DJ Lin, pertemuan mereka umpama  hari raya kerana semua adik-beradik pulang ke kampung malah makanan kegemarannya iaitu soto daging dan karipap sardin turut disediakan.

Membeli-belah saat akhir

Berbicara sambutan lebaran yang bakal tiba, DJ Lin mengakui lebih mengutamakan persiapan ibu dan anak-anaknya.

“Biarlah saya tiada baju raya sekali pun, asalkan kelengkapan ibu dan anak-anak mencukupi," ujarnya.

Walaupun tidak sempat menemani anak-anak membeli-belah, kata DJ Lin, dia memberi wang secukupnya untuk membeli barangan keperluan mereka.

“Saya ni last minute person, kadang-kadang di akhir Ramadan, barulah sibuk nak shopping raya,” katanya.

Bakal bercuti selama dua hari, katanya, tempoh itu sememangnya diperuntukkan untuk keluarga besarnya  kerana itulah masanya mereka merapatkan  silaturrahim.

“Saya pernah ulang-alik dari Larkin ke Kuala Lumpur selama tiga hari berturut-turut sebab tak dapat cuti raya. Penat juga tapi tak kisah sebab dah biasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, selebriti berusia 42 tahun ini dan rakan-rakan penyampai radio lain turut menonjolkan bakat mereka berlakon menerusi drama Kuih War yang juga dibintangi Didie Alias, Anas Ridzuan, Najwa P. Ramlee dan ItsRoseNicotine.

Kuih War akan bersiaran bermula 13 Jun ini setiap Selasa dan Khamis menerusi www.suria.my. Selain itu, mereka bergabung suara dengan kumpulan Drama Band menerusi lagu Segalanya Lebih Bermakna.

Sokong kempen Malaysia #QuranHour

DJ Lin turut menyokong kempen Malaysia #QuranHour yang bakal berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 19 Jun (24 Ramadan) ini.

“Kempen ni positif dan membantu memberi kesedaran kepada masyarakat," katanya.

Tambahnya, secara tidak langsung, kempen ini mampu memberi panduan kepada masyarakat mencintai al-Quran yang mungkin selama ini lalai dan terleka.

DJ Lin juga berpendapat Malaysia #QuranHour membantu masyarakat meluangkan masa membaca al-Quran yang menjadi pegangan umat Islam.
Powered by Blogger.