F ‘Dia pergi pada bulan mulia’ | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

‘Dia pergi pada bulan mulia’

“Jauh di sudut hati saya sedih namun arwah adalah anak kebanggaan dan perginya pula dalam bulan mulia iaitu bulan Ramadan,” luah Mohd Norzin Masrom, 49,

Dia merupakan bapa kepada pelajar Institut Tahfiz al Quran Negeri Sembilan (Itqan), yang meninggal dunia semalam.

Mohd Norzin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, anak sulungnya, Mohd Norasyraf, 20, pelajar semester 5 Diploma Tahfiz al-Quran, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik air asrama Itqan oleh rakannya.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu anaknya pada Jumaat lalu, ketika anaknya sedang beriktikaf di Masjid Kariah Kampung Labu Tengah.

"Ketika itu dia juga jadi imam bagi solat Jumaat. Mohd Norasyraf juga sempat bacakan khutbah. Saya temannya ke masjid hingga jam 3 petang.

"Dia dah ada di masjid itu sejak Khamis lagi untuk menyempurnakan program iktikaf hingga semalam (kelmarin). Jika diikutkan, dia bakal tamatkan pengajian 30 juzuk al-Quran pada semester depan. Kini anak saya dah hafaz 24 juzuk al-Quran,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tampin (HT), semalam.

Norzin yang juga pesara tentera berkata, anaknya itu bercita-cita untuk menyambung pengajian di Mesir dalam jurusan al-Quran dan Qiraati di peringkat ijazah.

"Dua lagi anak saya berusia 10 serta 11 tahun juga mengikut jejak langkah arwah abang mereka dengan bersekolah tahfiz. Kini mereka merupakan pelajar tahfiz di Taman Sri Pagi, Senawang.

"Pada Selasa lalu, anak saya ada mengadu sakit serta lenguh anggota badan. Pemeriksaan di klinik mendapati dia mengidap gastrik," katanya.

Sementara itu, Pengetua Itqan, Zamani Ibrahim berkata, arwah seorang yang sangat aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan di Itqan dan merupakan Ketua Exco Rohani, Majlis Tertinggi Pelajar Itqan.

Menurutnya, arwah sempat merancang serta melaksanakan program sempena Ramadan bersama ahli jawatankuasanya bagi mengimarahkan lagi Ramadan.

“Malah, ini tahun ketiga arwah terpilih untuk program iktikaf. Dia juga salah seorang dari 76 pelajar terpilih untuk jadi imam, di 38 masjid di negeri ini sempena Ramadan.

“Bulan Ramadan ini, Itqan kehilangan dua permata yang amat bermakna. Dua minggu lalu seorang guru Bahasa Arab, warga Mesir, Mahmud Ibrahim, 38, meninggal dunia dan kini pelajar kami yang bakal bergelar tahfiz pula.

"Bukan semua orang dapat meninggal di bulan Ramadan dan mereka adalah orang-orang yang terpilih dapat keistimewaan ini," katanya.

Jenazah Allahyarham Mohd Norasyraf dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat telah dibawa ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat,” katanya.

Powered by Blogger.