F Dia diam bila saya kata begitu: Ibu | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Dia diam bila saya kata begitu: Ibu

"Saya tidak sangka dia pergi dulu sebelum saya. Saya ingat saya yang pergi dulu. Apa pun, ini sudah ketentuan-Nya, saya terima dengan reda," luah ibu kepada Allahyarham Mejar Yazmi Mohamed Yusof, Datin Hanizah Ibrahim, 70.

Menurutnya, anak bongsu daripada empat beradik itu, menghubunginya kali terakhir pada Selasa lalu.

“Dia ada hubungi saya Selasa lalu dan beritahu akan pulang ke Labuan setelah menjalani latihan di Kuantan dan minta saya doakan dia selamat.

“Saya nasihat, supaya jaga diri. Saya kata jika terjadi apa-apa saya tidak sanggup menerima jasadnya dalam keadaan berkecai, biar elok sempurna, tetapi dia hanya berdiam diri,” katanya selepas majlis pengebumian anaknya itu di Tanah Perkuburan Islam Titiwangsa, hari ini.

Tambah Hanizah, anaknya itu juga memaklumkan kepadanya akan pulang beraya di Teluk Intan.

“Pemergian Allahyarham satu kehilangan pada saya dan keluarga. Dia anak yang baik dan amat disayangi adik-beradiknya yang lain,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, Allahyarham memang bercita-cita mahu menjadi juruterbang sejak kecil yang akhirnya tercapai.

“Kami tidak pernah menghalang dia jadi juruterbang, ALLAH SWT sayangkan dia, kami sekeluarga reda,” katanya.

Sementara itu, abang sulung kepada Allahyarham Mejar Yazmi, Yusfi Mohamed Yusof, 52, berkata, kali terakhir beliau bertemu adiknya itu pada minggu pertama Ramadan yang lalu.

“Kami jarang berjumpa, memandangkan tugasnya berulang alik dari Labuan ke Kuantan. Kali terakhir bertemu dengannya, minggu pertama Ramadan.

“Dia bawa popiah yang dibuatnya sendiri. Saya tidak tahu dia pandai buat tetapi popiahnya sedap. Dia juga bawakan durian untuk kami semua nikmati. Walaupun kurang menggemari durian, saya dan isteri makan durian bersama,” katanya.

Beliau berkata, pemergiannya adiknya itu sangat dirasai memandangkan Allahyarham seorang adik yang baik.

“Pada mulanya kami amat terkejut dengan kejadian ini apabila dimaklumkan oleh pihak TUDM. Sudah tentu kami terasa pemergiannya, dia adik yang paling bersahaja, yang tidak pernah marah dan tidak cepat berkecil hati,” katanya.

Dalam pada itu, Yusfi bagi pihak keluarganya menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang menguruskan jenazah adiknya sehinggalah selamat dikebumikan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menguruskan jenazah, khususnya kepada pihak TUDM dan mereka yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham,” katanya.

ot;1" />
Powered by Blogger.