F Dennis sanggup buat apa saja | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Dennis sanggup buat apa saja

Bekas penyampai radio FlyFM, Dennis Yin mengakui kerjaya seninya sekarang lebih fleksibel sejak bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana organisasi.

Pengacara, pelakon dan penari berusia 29 tahun itu juga selesa dengan aturan masa yang boleh dibuatnya sendiri serta membolehkan dia mempunyai lebih banyak masa senggang.

Bagaimanapun, ia bukan alasan untuknya bersenang-lenang kerana hakikatnya dia perlu bekerja lebih keras.

“Bukan tidak suka, namun, apabila bekerja sebagai penyampai radio, ia agak memenatkan. Program yang saya kendalikan adalah program awal pagi dan masa tidur saya pun tidak terjaga.

“Sekarang ramai mula bertanyakan apa yang saya lakukan demi kelangsungan karier sejak tidak menjadi penyampai radio. Sejujurnya, saya sanggup lakukan apa saja sekarang ini asalkan boleh menyara hidup.

“Bukan saja mengacara dan berlakon, saya turut membuat bahan video vlog di YouTube serta apa saja cabang seni lain. Kecuali nyanyian, saya memang tidak akan berhasil kalau menceburi bidang itu,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai produksi video yang dibuatnya, dia mengakui proses membuat video tidak semudah disangka ramai.

“Apabila berjinak-jinak dengan produksi sendiri barulah saya tahu betapa sukar sebenarnya proses itu. Namun, ramai yang mengandaikannya senang kerana hanya perlu rakam video dan sunting.

“Namun, sejujurnya ia lebih daripada itu. Ia memerlukan semangat yang konsisten serta kebolehan memikirkan idea menarik agar boleh dapat ramai pengikut,” katanya.

Yang pasti, Dennis juga tidak menafikan sudah terfikir untuk menamatkan zaman bujang serta mahu bekeluarga nanti.

“Inilah sebab saya mahu bekerja keras dan melakukan apa juga jenis kerja selagi ia masih dalam kemampuan saya. Bukan sekadar menggumpul duit, namun, mahu puaskan hati dengan pengalaman dulu.

“Selepas itu, barulah saya akan berkahwin dan memulakan keluarga. Semestinya ketika itu saya mahu cari pekerjaan yang jauh lebih stabil dan fokus kepada keluarga pula,” katanya.

Dennis ditemui pada acara Skechers Sweet Monster K-Pop Dance Competition di Causeway Point, Singapura. Dia ditugaskan menjadi juri kepada pertandingan yang disertai peserta dari Malaysia, Singapura, dan Thailand.
ot;1" />
Powered by Blogger.