Berita Terkini
recent

'Dari Hati' Astro

Mengangkat tema ‘Dari Hati’ bagi menggerakkan ‘Kempen Kosong-Kosong’ untuk sambutan Ramadan dan Syawal kali ini, selain menampilkan program yang seiring dengan tema pada Ramadan, Astro turut memeriahkan kaca TV dengan program bersesuaian sepanjang sambutan Aidilfitri nanti.

Sebanyak 260 pengisian dihimpunkan termasuk 131 program baru bakal ditayangkan di saluran TV Astro dan turut merangkumi ruang digital, TV dan radio.

Mahu bergerak seiring dengan perkembangan trend digital secara global masa kini, variasi himpunan kandungan istimewa raya yang disajikan boleh juga diakses menerusi medium digital dan perkhidmatan kandungan over-the-top atau ‘OTT’ termasuk aplikasi Astro GO dan NJOI Now, portal Astro Gempak dan Rojak Daily, On Demand serta banyak lagi bagi memberi pelbagai pilihan kepada pelanggan.

Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, kemajuan teknologi pesat masa kini merangsang revolusi dunia penyiaran dan dunia dalam talian yang berpotensi membawa pembaharuan kepada landskap industri kandungan alaf baru yang bersifat digital.

“Astro perlu bersedia menangani cabaran dan lebih proaktif dalam melaksanakan pembaharuan untuk meraih manfaat kesan daripada trend global yang berubah-ubah supaya tidak ketinggalan, sekali gus kekal relevan di mata pelanggan.

“Oleh itu, pelanggan kini boleh menonton pelbagai program sepanjang Aidilfitri tidak hanya di kaca TV, malah dalam pelbagai medium di mana saja dan tidak kira masa,” katanya.

Menariknya, Aidilfitri ini juga Astro turut menampilkan saluran baru iaitu Raya HD (saluran 122) yang boleh dinikmati secara percuma selama sebulan oleh semua pelanggan Astro dan NJOI bermula 24 Jun hingga 24 Julai ini.

“Saluran khas Raya HD bakal menyajikan seleksi program raya terbaik yang disusun berselang-seli tanpa henti merangkumi pelbagai genre berbeza termasuk program hiburan dan muzikal.

“Penonton juga boleh menyaksikan barisan drama dan telefilem terhebat yang menampilkan nama popular tanah air, program berunsur lawak dan komedi, koleksi filem terlaris tempatan dan antarabangsa dari era kegemilangan Allahyarham Tan Sri P Ramlee sehinggalah yang terkini selain karya filem Bollywood serta Hollywood,” katanya.

Meneruskan lagi kesinambungan tradisi setiap tahun, Astro turut mempersembahkan secara eksklusif sebuah iklan komersial televisyen bersempena dengan Aidilfitri yang memaparkan kisah benar Adli, seorang bapa yang dikurniakan anak istimewa autisme bernama Luqman.

Iklan ini mengupas kecekalan dan pengorbanan Adli untuk membesarkan amanah yang diberi. Demi kasihnya kepada Luqman, Adli menubuhkan sebuah ‘Cafe Autism’ yang turut memberi sinar baru kepada ibu bapa yang mempunyai anak autistik untuk mendapatkan latihan vokasional di situ.

Uniknya lagi, iklan komersial itu turut menampilkan Adli dan Luqman sendiri yang melakonkan semula kisah mereka menggunakan laras bahasa sendiri.

Khairul Anwar berkata, sewaktu Kempen Kosong-Kosong Dari Hati mula dilancarkan pada awal Ramadan lalu, pihaknya menerima banyak komen dan bingkisan peribadi yang dihantar rakyat Malaysia ke pelbagai laman sosial termasuk laman sesawang rasmi Astro.

“Lebih bermakna lagi, Astro sendiri turun padang untuk membuat tinjauan dan menemu bual orang ramai, barisan selebriti, keluarga terdekat serta sahabat handai untuk mendapatkan pengertian ‘Dari Hati’ daripada perspektif berbeza.

“Pelbagai kisah menarik diterima dan kami berasakan ada di antara perkongsian berkenaan mempunyai inti pati yang cukup menyentuh hati serta bersesuaian dengan tema ‘Dari Hati’ untuk diterjemahkan dalam bentuk iklan komersial sempena Syawal ini,” katanya.

Menurutnya, tahun ini pihaknya menerbitkan iklan lakonan semula yang digarap berdasarkan kisah hidup Adli dan anaknya Luqman yang sarat mesej bermakna untuk memberi kesedaran serta membuka minda masyarakat supaya lebih peka dan prihatin, sekali gus menepis persepsi kurang tepat mengenai autisme.

“Kami berharap iklan ini dapat memberi inspirasi kepada penonton supaya melakukan sesuatu dengan penuh ikhlas, sekali gus mengukuhkan institusi kekeluargaan sempena bulan mulia ini,” katanya.

Kandungan premium menerusi Astro First tidak ketinggalan membariskan program menarik untuk dilanggan iaitu Memori Pajeri Nenas, Syurga Yang Tak Dirindukan 2 dan Dangal. Manakala Astro Best pula turut menawarkan tiga program hebat iaitu Beauty & The Beast, The Baby Boss dan Logan.

Antara koleksi filem terlaris yang bakal menghiburkan penonton termasuk Munafik, Kabali, Secret Life of Pets, Langit Cinta, Diwali dan Bajirao Mastani.

Bukan itu saja, penonton juga bakal dihidangkan sajian program muzikal seperti Gegar Vaganza Kirim Salam Raya, Dia Semanis Honey Muzikal, Duo Star Lagenda Raya, Tak Balik Raya Tak Rock dan Karokgram.

Bagi peminat program berbentuk drama dan telefilem Melayu, nantikan barisan rancangan terhebat yang menampilkan pelakon popular tanah air seperti Menantu Malam Raya, Lambor Kanan Belakang Dewan, Jodoh Ayam Tergolek dan Selamat Tinggal Aidilfitri.

Lebih mengujakan, episod akhir drama adaptasi novel, Hero Seorang Cinderella yang kini menjadi drama Melayu nombor satu di saluran Astro akan turut disiarkan pada minggu pertama Aidilfitri.

Astro turut membawa kembali barisan drama popular bersama hero dan heroin kegemaran ramai dalam bentuk telefilem istimewa khas sempena raya seperti Suri Hati Mr Pilot Raya, Famili Tuan Ihsan, Abang Bomba I Love You Raya dan Sayang Papa Saya Tak Raya.

Bagi memberi lebih pilihan kepada penonton, barisan program bercorak gaya hidup atau hiburan untuk tontonan sesi keluarga juga akan dihidangkan antaranya Romantika Raya, Hero Princess Aaisyah, Abang Hot Beraya, Parodi Raya Dulu Raya Sekarang.

Manakala barisan program lawak dan komedi yang menggelikan hati juga disusun termasuk MLM Raya 2017, Konsert Komedi Raya dan Jozan Raya Sampai Pengsan.

Lebih menarik lagi kali ini, lagu ‘Raya Nusantara’ ciptaan komposer terkenal Omar K bakal menggabungkan tujuh penyanyi terkenal di rantau ini iaitu Siti Nordiana, Ismail Izzani, Kashika, Alvin Chong dari Malaysia, Rizky Febian dan Fatin Shiqdia dari Indonesia serta Sufi Rashid dari Singapura.

Ini adalah projek pertama kali diadakan bagi memeriahkan Aidilfitri untuk diraikan bersama artis negara serantau. Video muzik arahan pengarah Ghaz Abu Bakar juga dijangka bakal menampilkan kelainan yang tersendiri kepada pelanggan.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.