Berita Terkini
recent

Dapat berguni kad raya, Rem rindu kenangan lalu

LEBIH 24 tahun bergelar anak seni, penyanyi Ramzani Kassim atau lebih dikenali dengan nama komersialnya, Rem mengakui sering terkenangkan memori raya yang dilaluinya ketika awal penglibatannya dalam bidang seni.

Aidilfitri yang dirai pada1993 adalah paling meriah dan banyak menyimpan kenangan kerana Rem mula beraya sebagai artis.

“Pada tahun itu saya pulang beraya seperti biasa dan persiapan pun sederhana saja sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. Tapi, tak sangka, ramai tetamu datang. Cukup meriah rumah kami dari pagi sampai malam,” katanya yang saban tahun akan pulang ke Kuching, Sarawak.


Kata Rem, setiap tahun selepas bergelar artis dia akan pastikan sentiasa membuat lebih persediaan terutama makanan kerana mahu menjamu tetamu.

“Itu perbezaan yang paling ketara apabila sudah bergelar artis kerana ramai yang datang beraya terutama mereka yang dekat dengan kampung saya.

“Kadang-kala ada yang datang sekadar nak jumpa dan bergambar saja, ada yang nak tengok suasana raya di rumah saya dan macam-macam ragam lagi,” ujar penyanyi yang cukup dikenali dengan lagu Selingkar Kasih ini lagi.
Suatu yang menarik juga, kata Rem, setiap kali Ramadan kebanyakan artis pada era itu akan menerima ribuan kad raya daripada peminat.

Tambahnya, kemeriahan menerima kad raya sehingga berguni-guni yang dihantar peminat melalui syarikat rakaman mungkin tidak dilalui artis pada era hari ini.

Bagaimanapun, katanya, dia sentiasa cuba membalasnya sebagai tanda penghargaan namun disebabkan jumlahnya yang terlalu banyak, ada yang hanya sempat memberikan ucapan menerusi sesi temu bual dengan majalah sempena hari raya ataupun ketika muncul di TV sahaja.

Lebih istimewa katanya, dia pernah menerima sebuah album yang mengumpulkan koleksi gambar-gambarnya yang pernah keluar di majalah, selain baju dan kuih raya sebagai hadiah sempena lebaran.

Kerja pada hari raya

Menjadi popular dan terikat dengan jadual ketika itu menuntut Rem meninggalkan keluarga kerana terpaksa beraya di Kuala Lumpur.

“Pernahlah juga beberapa kali saya tidak dapat pulang beraya di kampung kerana terlibat dengan persembahan pada malam raya dan hari raya sama ada untuk program TV mahupun jemputan persembahan majlis tertutup," katanya yang reda berkorban demi kerjaya.

Tidak seperti artis semenanjung yang mungkin boleh bersama keluarga ketika lebaran, Rem pula sebaliknya kerana harga tiket kapal terbang sangat mahal pada musim perayaan.

Bagaimanapun, ujar penyanyi ini, keluarganya amat memahami situasi itu malah tidak kisah jika mereka hanya berhubung menerusi telefon untuk memberi ucapan raya dan bermaafan.

Rem juga mengakui, dia menjadi penyeri keluarga yang menambahkan kemeriahan hari raya tetapi mujur keluarga memahami dan sanggup menanti kepulangannya.

“Disebabkan itulah saya sentiasa menghargai setiap peluang menyambut raya bersama keluarga dan akan memastikan raya kami menjadi cukup bermakna,” katanya.

Berkongsi kemeriahan sambutan raya di negeri kelahirannya, kata Rem yang pernah merakamkan lagu raya Mulia Ramadan dan Lebaran, sambutan raya di sana tidak hanya tertumpu pada hari raya pertama sahaja, tetapi berterusan sehingga tujuh hari.

“Kalau di semenanjung, kita hanya akan nampak orang beraya pakai baju Melayu pada raya pertama sahaja, tetapi di Sarawak kami akan berbaju Melayu lengkap bersampin sehingga tujuh hari berturut-turut.

“Tidak kiralah ketika beraya di rumah mahupun ketika mengunjungi rumah saudara mara dan sahabat handai, kami akan lengkap berbaju Melayu,” ujar Rem yang mengambil cuti  lebih awal tahun ini untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.