F Dafi kosongkan jadual sepanjang Ramadan | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Dafi kosongkan jadual sepanjang Ramadan

MESKI sibuk dengan aktiviti seni, penyanyi dan pelakon, Dafi berhasrat mengisi Ramadan tahun ini dengan lebih banyak kerja amal.Jika tahun sebelumnya Dafi tidak berkesempatan berbuat demikian, kali ini dia sengaja mengosongkan jadual untuk tujuan itu.

“Selalunya ketika Ramadan, saya banyak berada di lokasi sebab terlibat dengan penggambaran drama atau program TV sempena hari raya. Jadi tak cukup masa nak buat aktiviti lain. Tahun ni kalau boleh saya nak luangkan masa dengan amal dan ambil berkat sebaiknya," katanya.

Kata penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Bila Terasa Rindu ini lagi, dia berharap agar dapat menyertai sebanyak mungkin program amal yang dianjurkan sepanjang Ramadan ini.


“Bukan saya tak pernah terlibat dengan kerja amal, tapi tak tahu kenapa tahun ini saya rasa nak luangkan lebih banyak masa dengan aktiviti seperti ini," katanya yang baru tampil menerusi iklan komersial Munchy's 7Days Croissant.

Tambah Dafi lagi, dia teruja menziarahi rumah orang-orang tua dan membantu selain memberi sokongan emosi kepada mereka.

“Pengalaman mengunjungi mereka sebelum ini sangat meruntun hati saya, jadi harap dapat menceriakan mereka dengan kunjungan selepas ini,” luah Dafi jujur.

Kurus dengan Muay Thai

Selain misi Ramadannya, Dafi turut menyertai Muay Thai untuk tampil lebih sihat dan mendapatkan berat badan ideal.

Dafi juga tidak mahu bergantung kepada ubat kurus yang diambil sejak berusia 16 tahun bagi mengelakkan masalah kesihatan atas nasihat doktor.

Menurutnya lagi, disebabkan berat badannya naik mendadak selepas berhentikan pengambilan ubat kurus, dia mencari kaedah lain untuk menurunkan  kembali berat badannya.

             
“Selama mana saya boleh tahan untuk dengar orang keliling asyik tegur berat badan saya, jadi saya cuba cari kaedah lain untuk menguruskan badan sehinggalah ada yang cadang ikut kelas Muay Thai," katanya yang sudah dua bulan menyertai aktiviti itu.

Dia juga lebih sedar banyak cara lain yang lebih sihat untuk menguruskan badan berbanding cara mudah tetapi berisiko seperti pengambilan ubat kurus.

Promosi Girl

Berkongsi sisi seninya, Dafi muncul dengan single terbarunya bulan lalu berjudul Girl selain sedang merancang menerbitkan muzik video istimewa untuk lagu ini.

“Dulu saya pernah cakap, kalau video lagu ini mendapat sejuta tontonan di YouTube, saya mahu buat sebuah muzik video khas dan beri peluang kepada dua peminat turut serta sebagai penghargaan kerana sokong saya selama 10 tahun dalam bidang seni,” kata Dafi yang dicungkil bakatnya menerusi program Akademi Fantasia musim kelima.

               
Selain memberi fokus kepada bidang nyanyian, Dafi aktif dalam dunia lakonan terutamanya di pentas teater. Antara teater yang pernah disertai ialah Dream Girls, Di Bawah Lindungan Kaabah, Maduku Kalut Returns, Mak Cun dan Dia semanis Honey.

Mengakui pada mulanya agak takut beraksi di pentas tetapi kata Dafi, dia mula seronok dan mahu terus aktif dalam lakonan pentas.

“Kini hampir setiap tahun saya akan terlibat projek teater dan kalau ada kesempatan saya harap boleh berlakon lagi hujung tahun ini,” ujar Dafi yang ditemui di majlis berbuka puasa dan rakaman Muzik Muzik Raya baru-baru ini.

Sokong Malaysia #QuranHour

Sempena majlis Malaysia #QuranHour yang bakal menyaksikan bacaan al-Quran beramai-ramai secara serentak pada 24 Ramadan ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, Dafi turut menyatakan sokongan penuhnya.

“Pada bulan-bulan biasa kita dah sertai macam-macam majlis dan acara, jadi kenapa tidak kita raikan bulan Ramadan yang mulia ini dengan menyertai acara Malaysia #QuranHour yang bagi peluang untuk kita membaca al-Quran beramai-ramai secara serentak.

“Bukan selalu acara seperti ini diadakan, jadi kali ini semoga kita semua sama-sama dapat manfaatkan peluang ini dengan sebaiknya agar  sentiasa dekat dengan al-Quran.

“Bagaimanapun saya berharap agar acara seperti ini tidak hanya diadakan pada bulan Ramadan saja sebaliknya diadakan secara berterusan,” kata Dafi.

Powered by Blogger.