Berita Terkini
recent

"Cico Dianiaya, Sukar Untuk Bercakap" - Uji Rashid

Artis Veteran, Uji Rashid memberitahu ada pihak menganiaya anaknya pelakon Cico Harahap, 39, sehingga jatuh sakit termasuk sukar untuk bercakap.

Memetik laporan Harian Metro, Uji berkata, beliau tidak tahu apa niat pihak tersebut namun sebagai ibu, dia reda dengan ketentuan takdir.

"Ini takdir dan ketentuan Allah. Cico dianiaya dan saya reda," katanya.

Uji mendakwa anaknya itu dianiaya apabila telefon bimbitnya turut dirosakkan apabila direndam dalam asid hingga bahagian dalamannya terbakar.

Kejadian tersebut belaku selepas Cico keluar bertemu dengan rakan-rakannya pada malam 25 Disember tahun lalu.

"Saya sukar nak cakap apa yang berlaku kerana tiada di tempat kejadian. Saya difahamkan pihak terbabit meletakkan sesuatu dalam minumannya.

"Saya juga tidak pasti siapa yang menghantarnya pulang. Bukan cara elok tapi dia ditinggalkan dekat pintu dan Cico merangkak masuk ke dalam rumah," katanya.

Uji berkata, dia kemudian membawa Cico mendapatkan rawatan di hospital selain menjalani rawatan perubatan Islam.

Menurut Uji, Cico kini semakin pulih cuma dia terasa sakit apabila mahu bercakap.

“Awal dulu, dia langsung tak kenal saya dan anaknya Rindu Nur Fitrah yang kini berusia lapan tahun.

"Kami bagi dia minum air zam zam, air bacaan yasin dan air penawar yang diberikan oleh orang. Kami juga minta tolong pada mereka yang sudi membantu," katanya.

Antara yang sudi membantu mengubati Cico ialah pelakon Ashraf Muslim.

Uji berkata, sebelum ini dia enggan membuka mulut kerana tidak mahu orang tersalah tafsir mengenai keadaan Cico.

"Ini ketentuan Tuhan dan semua yang berlaku atas izinNya. Cuma saya minta semua doakan yang terbaik dan jangan cakap yang bukan-bukan," katanya.
Powered by Blogger.