F Cerewet demi kualiti | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Cerewet demi kualiti

Kejayaan beberapa drama terbitan syarikat Darkwave Pictures Sdn Bhd seperti Sesal Separuh Nyawa dan Syurgaku Tak Sempurna mendorong penerbitnya Datuk Rafiena Ezanee terus menghasilkan karya berkualiti tanpa mengambil kira perbelanjaan yang perlu dikeluarkan.

Terbaru, Rafiena tampil dengan drama 30 episod berjudul Mr Delicious yang bakal bersiaran di Hypp TV saluran Hypp Sensasi pada Julai ini.

Menjalani sebahagian penggambaran di Istanbul, Turki akhir Mei lalu, Rafiena mengakui teruja apabila dapat menjalani penggambaran ketika musim bunga dengan persekitaran yang cantik dan nyaman.

“Saya tiada masalah untuk mengeluarkan kos tinggi asalkan dapat mengekalkan kualiti setiap produk Darkwave Pictures.

“Bagi saya, apabila setiap naskhah itu diterjemahkan dengan baik, ia memberikan satu kepuasan kepada diri sendiri. Menerusi drama ini saya cuba menyuntik pelbagai elemen menarik sehingga ia kelihatan seperti sebuah filem.

“Saya pilih Istanbul kerana kami tidak pernah menjejakkan ke sana sebelum ini. Jadi kami ambil peluang ini untuk merakamkan setiap tempat indah yang terdapat di bandar raya itu,” katanya.

Menurut Rafiena, dia mengakui seorang yang tegas apabila bekerja sehingga kadang-kadang tidak ramai individu yang dapat membaca tahap jangkaan yang diinginkan.

“Saya selalu letak diri saya sebagai seorang penonton. Saya tidak mahu drama terbitan saya mendapat malu apabila dikatakan syok sendiri.

“Jadi tidak salah rasanya untuk saya bersikap cerewet terhadap setiap produk yang dihasilkan sebelum ia bersiaran.

“Saya akan pastikan setiap watak yang dilakonkan disampaikan dengan berkesan. Saya juga akan mengingatkan setiap pelakon untuk memahami dan membaca karakter masing-masing sebelum memulakan penggambaran.

“Lagipun, penonton sekarang sudah bijak menilai mutu lakonan seseorang pelakon itu. Jadi sudah tentu saya mahu mencipta watak yang terbaik untuk mereka,” katanya yang bersyukur apabila semua pelakon utamanya memberikan komitmen yang sehabis baik dan berusaha keras untuk drama ini.

Selain kehadiran pelakon sinetron dikenali dari Indonesia, Guntur Triyoga, drama Mr Delicious turut dijayakan Reen Rahim, Kilafairy dan Ieda Moin.

Reen seronok di Istanbul

Reen Rahim sangat teruja apabila dimaklumkan sebahagian daripada penggambaran drama Mr Delicious dijalankan di Istanbul.

“Sebelum ini, saya cuba mencari ruang untuk bercuti ke sana tetapi disebabkan jadual kerja sangat padat membuatkan peluang tidak ada,” katanya.

Sepanjang sembilan hari berada di Istanbul yang terletak di antara benua Eropah dan Asia itu, Reen berkata, dia mengambil setiap peluang untuk merakamkan detik indahnya di sana.

“Waktu penggambaran mengambil masa lapan hari. Memang jadual kerja sepanjang berada di sana sangat padat tetapi kebanyakan lokasi penggambaran dilakukan di tempat tumpuan di sekitar Istanbul, jadi sekurang-kurangnya sambil bekerja saya dapat menikmati keindahan Istanbul,” katanya yang turut berpeluang mengunjungi Masjid Biru.

Menyentuh mengenai keserasian dengan barisan pelakon, Reen yang membawa watak Fina berkata, dia tiada masalah untuk bekerja dengan pelakon senior, Ieda Moin yang banyak memberikannya tunjuk ajar.

Menurut Reen, keserasian datang dengan sendiri dan segala kerja menjadi mudah kerana pelakon dapat bekerjasama untuk merancang setiap babak dan watak masing-masing.

Drama ini mengisahkan tiga sekawan iaitu Fina, Zara dan Zita yang berkawan baik sejak di bangku sekolah.

“Setiap watak mempunyai karakter berbeza di mana saya sebagai Fina dilihat sebagai yang serius dan agak dingin dengan lelaki, Zara pula gadis ‘bimbo’ dan gedik, Zita pula garang, tegas tetapi kaki latah.

“Kami juga dari kecil mengenali Aiman. Apabila dewasa, kami jatuh cinta dengannya. Disebabkan itu, banyaklah peristiwa lucu dan sedih berlaku membabitkan persahabatan kami.

“Apabila kami ditempatkan di Istanbul, karakter menjadi bertambah hidup kerana kami sering mengingati antara satu sama lain.

“Malah, kami sesama sendiri selalunya akan memanggil dengan nama watak dan memberi respons untuk kekal dengan karakter masing-masing,” katanya.
ot;1" />
Powered by Blogger.