Berita Terkini
recent

Ceramah santai daripada Hans

Lebih dua dekad berkecimpung dalam gelanggang seni tanah air, pelakon dan penerbit Datuk Hans Isaac, 46, mengakui lebih selesa berada di belakang tabir.

Sudah puas mengecapi populariti dan sering berada depan khalayak sebagai pelakon popular, dia kini mengambil inisiatif untuk dikenali sebagai penceramah motivasi.

Pendekatan itu diambil selepas melihat semakin ramai anak muda suka mengeluh, mengharap bantuan dan ihsan orang lain.

“Sejak dulu lagi saya pasang niat bertemu anak muda untuk berkongsi pandangan dan pengalaman yang ada.

“Sekarang saya sedang merancang semuanya dan jika tiada aral ia akan dilaksanakan pada September atau Oktober nanti.

“Menjelang tarikh yang dipilih, saya dan pasukan akan membuat kempen bagi mempromosikan ceramah ini,” katanya.

Hans berkata, dia menyasarkan pelajar universiti dan akan menjelajah pusat pengajian tinggi di seluruh negara.

“Saya akan ke universiti bagi menarik lebih ramai pelajar. Menerusi ceramah berdurasi dua jam itu, saya tidak hanya berkongsi pandangan.

“Saya akan bawa bersama 12 selebriti yang terdiri daripada pelawak dan penyanyi untuk menghiburkan mereka.

“Ini adalah ceramah santai untuk memberi kesedaran kepada anak muda bahawa dalam melakukan sesuatu jangan terlalu bergantung harap kepada orang lain,” katanya.

Hans berkata, di samping berkongsi pengalaman dia akan bersama-sama memberi idea dan jalan penyelesaian untuk setiap permasalahan yang menghantui generasi muda.

“Anak muda sekarang suka merungut. Mereka mengeluh mengenai masalah negara sehingga ada yang terlalu bergantung harap pada kerajaan.

“Saya berharap ceramah ini sedikit sebanyak dapat membuka minda mereka selain akan lebih rasional dalam memikirkan sesuatu.

“Perlu diingat kita perlu berusaha sendiri dan boleh berjaya tanpa bantuan sesiapa,” katanya.

Berkongsi perkembangan karier seni, Hans mengakui terpaksa menolak tawaran beraksi dalam filem Polis Evo 2 dan sebuah lagi filem dari Singapura kerana mahu menumpukan perhatian terhadap program ceramah itu nanti.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.