Berita Terkini
recent

Bomba diserang ketika padam kebakaran

Sepasukan bomba terkejut diserang dalam amukan seorang lelaki ketika proses memadamkan kebakaran di Taman Mahsuri kira-kira jam 8.20 pagi tadi.

Lelaki berusia 29 tahun itu dipercayai di bawah pengaruh dadah dan kurang siuman ditinggalkan bersendirian sementara keluarga keluar beraya di Pulau Pinang.

Menurut sumber yang enggan dikenali, ketika kejadian mangsa ditinggalkan di rumahnya bersendirian kerana enggan ikut serta ke rumah saudara mara.


"Ketika itu kira-kira jam 8 pagi, jiran ternampak asap hitam dari rumah tersebut dan menghubungi bomba. Sementara bomba tiba ada jiran cuba pujuk dia keluar namun gagal," katanya.
Selain itu, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kulim, Mohd Yusri Yusoff berkata, pihaknya telah menerima panggilan orang awam kira-kira jam 8.06 pagi memaklumkan kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah di Taman Mahsuri.

"Kita bersama lapan anggota telah bergegas ke lokasi dan memulakan operasi memadamkan kebakaran yang melibatkan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss di ruang tamu.

Keadaan motosikal yang terbakar di ruang tamu

"Selepas kebakaran berjaya dikawal pasukan bomba ingin memecahkan jeriji besi rumah untuk proses selanjutnya bagaimanapun terkejut disergah seorang lelaki yang tiba-tiba keluar dari bilik belakang," katanya.

Katanya, pemuda tersebut hanya mengenakan seluar denim tanpa baju memegang sebatang besi dan melibas-libas di dalam rumah serta menjerit tanpa tentu arah.

"Keadaan lelaki tersebut begitu agresif. Dia menggunakan sebatang besi untuk menakutkan anggota kita dan menghalang tugas. Pelbagai kata kesat telah dikeluarkan dan menyuruh anggota beredar.

"Bagaimanapun dengan kecekapan yang kita ada anggota cuba memujuk lelaki tersebut dengan memberi air mineral dan nasihat untuk tenangkannya," katanya.

Mohd Yusri berkata, kira-kira lapan minit usaha memujuk lelaki tersebut berjaya dilakukan dan anggota juga berjaya memaut tangannya apabila dia menghampiri jeriji besi sebelum diserahkan kepada pihak polis.

"Kita juga telah hubungi polis untuk tindakan lanjut, dan lelaki tersebut telah diserahkan kepada polis," katanya.
Powered by Blogger.