Berita Terkini
recent

Bisnes Menjadi, Raya Zara Zya Lebih Meriah

Tidak hanya bergantung pada pendapatan menerusi lakonan, seperti diketahui rama, Zara Zya juga turut aktif di dunia perniagaan.

Minat berniaga membuatkan pelakon berusia 31 tahun ini tidak serik untuk mencuba pelbagai jenis perniagaan meskipun pernah antara bisnes yang dilakukan hanya setakat separuh jalan.

Menurut pelakon drama My Sweet Lavender ini, sejak kebelakangan ini perniagaan baru yang diusahakan sendiri iaitu produk losyen pelangsingan badan Trimx, nampaknya semakin mendapat sambutan hangat.

Bersyukur dengan rezeki yang diperolehi, kata Zara, sambutan Aidilfitri kali ini juga lebih meriah.

"Tahun lalu, bisnes saya kurang menjadi. Projek drama pun tak ada. Tapi raya saya tahun ini meriah. Baju raya saya, yang tajaan ada 20 helai dan yang saya tempah lima helai.

"Kemeriahan tu lebih terasa tambahan perniagaan yang sedang saya baru usahakan sejak beberapa bulan lalu iaitu produk losyen pelangsingan badan semakin mendapat sambutan. Alhamdulillah.

"Ramai tahu yang saya suka berniaga dan sebelum ini saya ada jalankan beberapa perniagaan tetapi ada yang tidak menjadi dan hanya separuh jalan.

"Tapi untuk bisnes yang saya sendiri kendalikan ini, nampaknya menjadi pula dan saya harap terus mendapat sambutan," katanya yang pulang beraya dikampung halaman di Lenggong, Pahang.

Kongsi Zara, seperkara yang paling di nanti ketika meraikan Syawal tentunya juadah di pagi raya.

"Saya suka rendang daging dan lontong. Saya anak bongsu daripada adik beradik dan satu-satunya perempuan. Jadi saya lah yang akan tolong ibu saya memasak," katanya.

Dalam pada itu, Zara berkata dia tiada perancangan untuk mengdakan rumah terbuka tahun ini.

"Tahun lepas saya buat tapi tahun ini saya tiada perancangan. Sebenarnya pengalaman lepas buatkan saya tak berani hendak anjurkan majlis untuk peminat kerana saya rasa kalau saya buat, huru hara jadinya," tuturnya sambil tertawa.

"Pernah sekali saya buat majlis tapi lokasi yang saya pilih itu malangnya tidak berapa selesa jadi saya tak mahu lah berulang lagi. Pada masa akan datang, kalau saya betul-betul hendak anjurkan majlis, saya akan pastikan keselesaan untuk peminat saya," ujarnya lagi.

Sempena Aidilfitri, Zara akan muncul menerusi telemovie berjudul Projek Raya Mak Leha yang akan ditayangkan pada raya kelima di TV9. Satu lagi, Huru Hara Raya yang akan ditayangkan pada 1 Syawal di TV3.
Powered by Blogger.