Berita Terkini
recent

Berkat jaga arwah ibu

Namanya kembali meniti di bibir peminat menerusi drama bersiri popular seperti Teman Lelaki Upahan, Si Kolot Suamiku dan Papa Ricky yang bersiaran di TV sebelum ini.

Malah tawaran berlakon tidak pernah putus buat pelakon Siti Elizad Mohd Sharifuddin, 33.

Ternyata, dirinya masih mendapat tempat dalam bidang lakonan selepas berkahwin.

Secara peribadi, Elizad akui dia bersyukur kerana masih mendapat kepercayaan daripada penerbit dan pengarah drama.

“Alhamdulillah, saya percaya dengan rezeki yang ditentukan Allah SWT.

Selepas menjaga arwah mama yang terlantar sakit dulu, rezeki tidak pernah putus dalam bidang seni.

“Rezeki juga semakin berganda selepas berkahwin. Saya bersyukur kerana dapat menggembirakan ayah dan berkongsi rezeki dengan ahli keluarga,” katanya.

Sepanjang Ramadan lalu, Elizad sibuk dengan penggambaran drama bersiri 20 episod berjudul My Darling Inspektor Daniel terbitan Skop Productions untuk Astro Ria.

Dalam kisah itu, Elizad bergandingan dengan Aaron Aziz , Erra Fazira dan Elizabeth Tan.

“Saya bawa watak sebagai Inspektor Hannah yang tomboi, lasak dan menunggang motor besar.

“Namun, Hannah ada sifat manja dan menyukai Inspektor Daniel (Aaron),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Elizad bakal terbabit dengan penggambaran sebuah filem indie di Berlin tetapi masih dalam perbincangan.

Belum ada rezeki timang anak

Ini adalah tahun ketiga, Elizad menyambut raya dengan suaminya, Shamsul Baharin.

Menurut Elizad, dia dan suaminya tidak pernah bergaduh mengenai giliran untuk pulang beraya pada setiap tahun.

“Suami berasal dari Subang Jaya dan saya dari Ampang dan kami menetap di Damansara selepas berkahwin.

“Selepas bersama keluarga mentua pada malam raya, kami akan beraya bersama bapa saya pada pagi raya dan seterusnya ke rumah sanak saudara,” katanya.

Elizad berkata, dia juga merancang bercuti bersama suaminya itu.

Ditanya soal anak pula, kata Elizad, dia memang sudah bersedia untuk membina keluarga sekali gus mengukuhkan lagi kebahagiaan rumah tangganya.

“Rumah tangga kami bahagia dan ini tahun ketiga kami beraya sebagai suami isteri tetapi nampaknya belum ada rezeki untuk kami menimang cahaya mata lagi,” katanya.

Elizad berkahwin dengan Shamsul Baharin, 45, yang berstatus duda dua anak pada 2015.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.