Berita Terkini
recent

Belajar 'main' sundang

Biarpun lebih tujuh tahun bergelar anak seni, Johan Ariff As’ari, 31, tetap meletakkan dirinya sebagai pendatang baru, terutama dalam lakonan filem.

Pelakon filem Juvana (1 hingga 3), Tokan, Balada Pencinta, Bopeng dan terbaru, Kanang Anak Langkau itu bersyukur kerana masih diberi peluang serta kepercayaan oleh produser tempatan sehingga ke hari ini.

Bakal muncul dengan filem Tujuh arahan Raja Mukriz tidak lama lagi, Johan kini mula membuat persiapan untuk filem terbaru, Lekir.

Filem bergenre epik itu bakal menggandingkan Johan bersama Farid Kamil, Zulhuzaimi, Amirul Affendy, Zahiril Adzim dan Adi Putra.

Filem itu dijangka memulakan penggambaran pada Syawal ini dan diarahkan pengarah baru berkelulusan luar negara dikenali sebagai Ramdan serta menelan kos lebih RM 10 juta.

Mendengar saja kos yang tinggi selain genre filem yang agak berisiko, Johan akui cukup yakin dengan produksi itu hingga sedia menerima tawaran itu berkenaan.

“Saya yakin dan ambil tawaran ini sebab sedar sebagai pelakon filem yang baru bertatih dalam dunia perfileman, ini adalah peluang untuk saya.

“Saya percaya bakat saya diiktiraf untuk memikul dan mengendali watak yang dianggap besar serta legenda. Jadi, saya kena sambar peluang ini,” katanya.

Memegang watak Kasturi, Johan mengikuti latihan silat bersama jurulatih profesional lebih sebulan bagi memenuhi kehendak watak.

Lebih menarik, dia perlu menguasai ilmu bermain sundang, sejenis senjata berupa keris panjang.

Katanya, Kasturi difahamkan pada zaman kesultanan Melayu Melaka adalah pakar senjata sundang.

“Disebabkan persediaan itu yang memakan masa lama, saya tidak boleh mengambil tawaran berlakon lain kerana perlu fokus pada latihan.

“Ada beberapa tawaran drama dan telefilem yang terpaksa saya tolak, kecuali ia membabitkan komitmen dua atau tiga hari saja,” katanya.

Menurutnya, dia sempat menjalani penggambaran telefilem Imam Samar-samar berganding bersama pelakon baru, Mawar Rashid sebelum Ramadan lalu.

Katanya, dia memegang watak Azmi, pelajar tahfiz tapi berhenti belajar di sekolah aliran agama kerana tidak percayakan pada masa depan kerjaya yang cerah.

Telefilem genre komedi turut dilakonkan Shamsul Ghau Ghau dan Mubarak Majid itu dijadual untuk siaran pada hari raya ketiga menerusi TV9.

Memegang karakter ‘budak tahfiz’, Johan menafikan tidak selesa kerana terus diberikan watak hampir sama.

Katanya, dia tetap mendapat tawaran watak lain pada projek berbeza. Tambah pula tanggungjawab memegang watak ‘budak tahfiz’ atau ‘ustaz’ dapat membantunya menjadi insan yang lebih baik.

“Saya tak kesah pun kalau terus dapat watak ‘ustaz’ sebab seronok,” katanya.

Mengenai kehidupan peribadi, Johan yang suatu ketika dulu sering dikaitkan bercinta dengan beberapa artis wanita tetapi semua hubungan itu tidak kesampaian mengakui soal jodoh memang sering diajukan kepadanya.

Katanya, soal itu bukan baru buatnya apatah lagi kakaknya, Farah Alya juga seorang pelakon, sudah pun mendirikan rumah tangga pada 20 Mei lalu.

“Pada masa ini, tinggal saya dan adik-adik saja. Rasanya pasti peminat dan saudara mara mengharapkan giliran saya pula. Kepada peminat, doa-doakan saja ya!” katanya berseloroh.

Tapi diam tak diam, Johan akui sedang mengenali hati budi seorang pelakon jelita berdarah kacukan yang sedang membina nama dalam dunia lakonan.

Biarpun hubungan mereka masih pada peringkat perkenalan, Johan enggan terburu-buru kerana belum yakin untuk meluahkan perasaan cinta.

“Saya tidak mahu ambil masa lama tapi masa sama perlu berhati-hati menyusun kata-kata untuk meluahkan perasaan kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.

“Jika ada jodoh kami, semua orang akan tahu juga. Cuma pada masa ini, saya tidak mahu terburu-buru dalam bercinta,” katanya serius.

Johan akui pelakon jelita itu belum mengetahui isi hatinya lagi dan beranggapan mereka sekadar berkawan baik sahaja.

Imbas kembali, Johan pernah dikaitkan bercinta dengan pelakon Lana Nordin, Ummi Nazeera, Wan Sharmila, Izreen Azmindar dan Nabila Huda.
Powered by Blogger.