F Bela nasib anak yatim | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Bela nasib anak yatim

Ramadan yang mulia memberi peluang kepada orang ramai untuk melakukan kerja amal, baik menerusi aktiviti atau sumbangan berbentuk peribadi.

Apa yang pasti bulan ini juga adalah kesempatan terbaik untuk setiap individu membantu golongan dan pihak yang memerlukan.

Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia menyokong pihak Al Munawwarah Centre menganjurkan program Iftar Ramadan Tautan Kasih.

Program yang bakal diadakan pada 10 Jun ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) bertujuan mengutip dana menampung pendidikan dan pembangunan anak yatim serta asnaf di bawah kelolaan pusat itu.

Sebagai tanda soko­ngan, program akan turut disertai barisan artis popular tempatan seperti Rita Rudaini, Izreen Azminda, Adira, Nabil Ahmad, Sufi Rashid, DJ Lin, Ernie Zakri dan Sahara Yaacob.

Menurut Rita, 41, program seumpana ini sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung pusat itu sekali gus dapat membantu kanak-kanak terbabit meneruskan kehidupan seperti orang lain.

“Sebagai seorang ibu, perkara sebegini sangat dekat dengan hati saya. Apabila mengenangkan nasib anak yang kurang bernasib baik, saya sebak. Dengan adanya program sebegini diharap dapat membantu mereka.

“Kalau tak banyak, dapat sikit pun tak apa. Bukan apa, kita nak juga melihat anak itu gembira dan melalui kehidupan biasa seperti orang lain. Jadi saya berharap ada pihak yang sudi memberi sumbangan dan menghulurkan bantuan,” katanya.

Sependapat dengan Rita, pelakon Izreen Azminda, 32, turut meluah­kan rasa sama apabila program sebegini dilaksanakan.

“Mungkin sebelum ini orang terlepas pandang dengan pusat ini. Apabila dipelawa menyertai program ini, saya terus bersetuju. Ini adalah satu cara untuk saya menyatakan tanda sokongan kepada program sebegini.

“Pada masa sama, saya ingin pihak lain buka mata dengan apa yang berlaku. Dalam pada kita berseronok dengan kesenangan yang ada, jangan lupa ada lagi pihak lain yang lebih memerlukan. Mungkin dengan sedikit sumbangan itu dapat mengubah kehidupan mereka,” katanya.

Al Munawwarah Centre menguruskan dua sekolah iaitu Sekolah Rendah Integrasi Al Munawwarah dan Maahad Tahfiz Al Quran Al Munawwarah.

Dua sekolah yang terletak di Sg Buloh ini menempatkan 98 pelajar yang kebanyakannya anak asnaf buta huruf dan tidak pernah bersekolah.

Lebih menyedihkan apabila bekalan makanan juga ala kadar dan bergantung kepada sumbangan orang ramai dan pihak tertentu.

Powered by Blogger.