F Anis Rela Perut Berangin Daripada Bangun Sahur | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Anis Rela Perut Berangin Daripada Bangun Sahur


Meskipun mengetahui bahawa bersahur itu banyak manfaat serta keberkatannya namun bagi pelakon dan model Anis Al- Idrus, dia kerap melepaskan rutin bangun sahur demi memastikan dia mendapat tidur yang cukup.

Menurut Anis atau nama sebenarnya Sharifah Anis Syed Zainal, dia akan diserang migrain yang sangat teruk jika tidak mendapat tidur yang cukup.

Akibatnya dia langsung tidak boleh bekerja bahkan melakukan apa-apa aktiviti. Justeru dia terpaksa bersahur lebih awal kerana tidak mahu waktu tidurnya terganggu.

"Saya memang tidak bangun bersahur lebih-lebih lagi jika saya terlibat dengan pengambaran kerana saya memang tidak boleh jika tidak mendapat tidur yang cukup. Pasti saya akan kena migrain.

"Jadi selalunya saya akan bersahur lebih awal misalnya jam 12 malam supaya saya tidak perlu bangun untuk bersahur. Apabila bersahur awal, saya mudah pula berasa lapar dan membuatkan perut saya rasa berangin di sepanjang hari berpuasa.

"Tapi saya lagi rela perut saya berangin daripada kena serangan migrain yang sangat menyakitkan," tuturnya ketika ditemui pada majlis tayangan Syawal TV3 dan TV9, bertempat di hotel Mandarin Oriental, KL, pada Rabu.

Pun begitu, Anis berkata kebiasaaanya dia memilih memakan makanan yang sihat dan dapat memberi tenaga di sepanjang hari seperti oat atau cornflake ketika bersahur.

Manakala jika berbuka pula, sekiaranya tidak terlalu sibuk dengan kerja dia gemar menikmati juadah buffet di restoran atau hotel kerana menghidangkan pelbagai jenis hidangan.

"Kalau berbuka, memang saya makan sungguh-sunguh. Kalau saya cuti, saya suka berbuka dengan konsep buffet sebab ada banyak makanan yang kita boleh pilih," katanya yang turut tidak melepaskan peluang mengerjakan ibadah solat terawih.

Mengenai persiapan menyambut lebaran, Anis berkata, tahun ini dia meraikan Aidilfitri secara sederhana. Dalam masa sama dia perlu menyempurnakan persiapan majlis pernikahannya yang berbaki 10 peratus lagi.

"Raya kali ini akan disambut secara sederhana kerana memang sibuk untuk uruskan majlis.

"Alhamdulillah, setakat ini persiapan untuk majlis sudah 90 peratus. Tinggal hendah edarkan kad kahwin dan membeli cincin," beritahunya sambil tersenyum.

Anis, 29, bakal melangsungkan perkahwinan dengan Mohd Rafzan Nurhikmal Abdul Halim, 35, pada 7 Julai 2017. Pasangan ini telah mengikat tali pertunangan pada 24 Mac yang lalu.

Powered by Blogger.