F Ani Mayuni 23 tahun dalam industri | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Ani Mayuni 23 tahun dalam industri

SETIAP kali menjelang Ramadan, nama Ani Maiyuni antara yang menjadi pilihan ditawarkan membuat persembahan.

Menganggap tawaran yang hadir sebagai rezeki terpijak, tahun ini penyanyi yang sinonim dengan lagu Terang Bulan ini diberi kepercayaan mengendalikan majlis berbuka puasa di Hotel Royal, Kuala Lumpur di samping teman seangkatan, Kelly Azman.

Akui teruja dengan amanah yang diberikan pihak hotel, Ani Maiyuni atau nama sebenarnya, Aishah An Nur Osman turut merakamkan rasa terima kasih dan gembira kerana inilah masa dia berpeluang beramah mesra dengan peminat, rakan artis dan rakan media.

“Alhamdulillah, rezeki untuk membuat persembahan tetap ada. Paling excited bila dapat berjumpa dengan teman lama dan peminat yang bermacam ragam.

“Walaupun tak ada album atau lagu baru,  nama saya masih lagi orang ingat dan kenal. Saya tak kisah kalau ada  yang kata saya hanya jadi pilihan pada bulan puasa saja.

“Sebab pada fasa sekarang, rasanya tiada lagi istilah untuk saya tagih kejar populariti.

“Sudah hampir 23 tahun saya dalam dunia seni sejak 1995 lagi. Macam-macam saya dah buat. Menyanyi sudah, berlakon filem pun sudah. Saya pun pernah jadi pengacara dan terlibat dalam teater.

“Semuanya saya sudah rasa dan timba pengalaman. Jadi ada baiknya pada bulan ini saya ambil sedikit masa untuk hiburkan peminat sementelah tawaran yang hadir bersama Kelly pun datang daripada teman rapat,” katanya kepada Media Hiburan.

Kurangkan aktiviti seni

Menurut Ani, selepas raya nanti dia ditawarkan berlakon drama episod untuk slot Samarinda TV3.

Namun ibu kepada tiga cahaya mata ini belum memberi kata putus sama ada mahu menerima tawaran itu kerana  terikat dengan beberapa komitmen seni yang perlu diselesaikan.

“Kalau nak diikutkan, selepas hari raya nanti saya akan terlibat dengan persembahan  rumah terbuka pula. Tapi, perasaan rasa berbelah bahagi. Mana tidaknya, tawaran itu datang daripada Sheila Rusly yang semua kenal antara pengarah yang bagus.

“Saya pun nak teringin berlakon di bawah produksinya. Tapi saya kena fikirkan benda lain juga. Tengoklah macam mana nanti,” ujar Ani yang turut memberitahu, sudah mengambil keputusan untuk memperlahankan langkahnya dalam dunia seni.

Berkongsi lanjut mengenai perkara tersebut, Ani yang juga sinonim dengan lagu Sedap ini meluahkan, selepas dua dekad dalam industri, inilah masa terbaik untuknya slow down dan memberi tumpuan kepada keluarga.

"Umur pun dah hampir 40 tahun. Lagipun memang tiada istilah untuk tagih populariti. Saya kini lebih selesa untuk ambil job demi kepuasan diri. Misalnya tawaran yang hadir dari teman atau pada waktu saya tak ada komitmen lain. Buat show pun untuk eratkan silaturahim bersama rakan industri.

“Kalau boleh saya tak mahu terlalu beri fokus pada seni sehingga membelakangkan anak-anak. Anak sulung akan  hadapi peperiksaan. Saya kena luangkan waktu untuk dia juga. Lebih puas bila dapat tengok anak-anak membesar depan mata,” akuinya.

Dangdut tetap ada peminat

Sementara itu, Ani turut memberi pandangan terhadap senario seni muzik ketika ini. Dikenali sebagai antara penyanyi dangdut, selebriti ini berkata, dangdut tetap mempunyai kelompok peminatnya sendiri.

Cumanya, genre itu sedikit tenggelam kerana perkembangan muzik semasa yang pelbagai.

“Bagi saya, dangdut masih ada peminatnya sendiri. Peminat pun ada yang tanya bila nak nyanyi lagu baru dan sebagainya. Dari situlah saya percaya pengikut muzik dangdut itu masih lagi ada dan sebagai penyanyi dangdut tentunya saya berbangga.

“Saya bermula sebagai penyanyi dangdut dan rasanya buat masa sekarang saya tetap selesa dengan genre tersebut. Kalau buat persembahan tu memanglah kita kena alunkan pelbagai jenis lagu.

“Tapi jauh di sudut hati, dangdut tetap menjadi ‘cinta’ saya yang pertama,” akhiri Ani yang turut memanjangkan sokongannya terhadap Malaysia #QuranHour yang bakal dilangsungkan secara besar-besaran di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya 24 Ramadan ini.

“Inilah masa terbaik untuk kita sebagai umat Islam luangkan masa dan  sama-sama berhimpun membaca dan memahami makna terkandung dalam ayat-ayat suci al-Quran.

"Selain merapatkan ukhuwah, program ini juga menjadi sesuatu yang perlu dimanfaatkan sebaiknya,” akhiri Ani.
ot;1" />
Powered by Blogger.