Berita Terkini
recent

Anak buat Harris teruja

Keseronokan menyambut cahaya mata pertama membuatkan penyanyi, Harris Baba begitu teruja menyambut Aidilfitri tahun ini.

Beraya di kampung isteri di Keningau, Sabah, baru-baru ini, pemilik nama penuh Khawaja Mohammad Harris Baba ini mengakui segala keperluan lebih kepada anaknya, Aleena Ziya yang kini berusia 3 bulan.

Malah, Harris turut mengambil cuti selama dua minggu sempena Aidilfitri lalu sebelum kembali ke ibu kota bagi menyiapkan video muzik single keduanya berjudul Parah.

Baginya, seluruh kehidupannya kini lebih kepada isteri dan anak. Walaupun terpaksa berulang-alik Sabah dan Kuala Lumpur, itu bukan masalah buat Harris.

“Saya memang merancang membawa isteri berpindah ke Kuala Lumpur, tetapi anak masih kecil dan sedang menyusu badan jadi biarlah mereka di Sabah dulu.

“Walaupun penat tetapi saya bahagia kerana jadual di Kuala Lumpur tidaklah terlalu padat dan saya boleh pulang ke Sabah apabila selesai kerja,” katanya.

Jika tahun lalu dia menyambut Aidilfitri berdua, tahun ini mereka meraikannya bertiga, namun Harris tidak mahu memaksa isteri untuk terlalu jauh berjalan kerana faham keadaan si kecil.

Ia juga tahun kedua Harris meraikan Aidilfitri di Sabah bersama keluarga isterinya.

“Kata orang beraya dengan anak ini pasti lebih seronok tetapi kami tidak akan paksa diri untuk berjalan seharian ke rumah saudara mara bimbang isteri dan anak penat nanti.

“Walaupun saya tahu apabila ada anak bolehlah kumpul duit raya untuknya, tetapi saya pun kena beri duit raya juga kepada anak-anak saudara,” katanya.

Berkongsi pengalaman selepas bergelar bapa, Harris akui tidak kekok menguruskan si kecil malah dia rasa sangat teruja dan bahagia.

“Alhamdulillah saya sangat gembira dengan apa yang dilakukan. Sejak Aleena lahir lagi saya sudah beranikan diri memandi dan menyiapkannya.

“Rasa lelah hilang setiap kali pulang melihat wajah si kecil. Teruja hendak pulang cepat ke Sabah juga kerana tidak sabar hendak bermain dengan si kecil,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.