Berita Terkini
recent

Zur Eda cuba-cuba berlakon

Pertama kali tampil berlakon, penyanyi popular 1980-an, Zur Eda mengakui tidak takut namun perlu mengikis sifat malu yang ada pada dirinya.

Bahkan, katanya, berlakon turut memberinya satu pengalaman yang berbeza.

“Walaupun saya dah biasa menyanyi di hadapan khalayak, saya sebenarnya malu untuk berlakon.

“Lagi pula, ketika berlakon, kita dikelilingi kru dan orang ramai. Tapi, ia juga memberi pengalaman berharga kerana saya tak pernah melaluinya,” katanya pada Kakigosip.

Pelantun lagu Pelitaku ini bakal membuat penampilan khas menerusi telefilem, Imamkan Aku, bergandingan dengan pendatang baru, Azrel Ismail dan Elvina Mohamad di TV3 pada Ramadan nanti.

Mengulas lanjut, katanya, tawaran lakonan itu diterima selepas dipelawa oleh pengarah telefilem berkenaan, Shuhaimi Lua.

“Saya dipelawa penuhi karakter sebagai Datin. Asalnya, saya ingat watak ini hanyalah biasa-biasa saja.

“Tapi, selepas meneliti skrip, rupanya watak Datin yang dibawakan ialah karakter Datin yang mempunyai ‘anak ikan’.

“Walaupun saya hanya terlibat enam babak, watak ini tetap mencabar dan saya cuba beri yang terbaik.

“Alhamdulillah, dengan bantuan semua saya berjaya melakukannya,” katanya.

Pada masa sama, penyanyi berusia 52 tahun ini menyifatkan pembabitannya dalam bidang lakonan sekadar mencuba sesuatu yang baru.

“Selama ini, saya hanya terlibat bidang seni suara.

“Mungkin dah sampai masa saya cuba sesuatu yang baru agar dilihat lebih segar.

“Lagipun sebelum ini, saya juga pernah terima tawaran berlakon, tetapi terpaksa tolak kerana belum sedia,” katanya.

Oleh itu, penyanyi lagu Kelmarin ini juga berharap agar terus diberi peluang untuk menyertai bidang lakonan.

“Selepas cubaan berlakon, saya rasa tertarik walaupun ia agak renyah apatah lagi perlu menunggu lama.

“Insya-ALLAH, saya sedia terima watak lain selepas ini,” katanya.

Bukan itu sahaja, Zur Eda juga bakal mengeluarkan jenama wangian sendiri hasil kolaborasi dengan AJ De Parfum, hujung bulan ini.

“Saya sedar selebriti lain juga berlumba-lumba mengeluarkan wangian sendiri.

“Saya pilih minyak wangi kerana berkait rapat dengan kerjaya saya.

“Lagi pula, saya perlu sentiasa dekat dengan orang ramai jadi saya kena selalu wangi,” katanya yang mahu berkongsi cita rasa bauan bersama peminatnya.

Dalam perkembangan lain, Zur Eda juga bakal menghasilkan single terbaru, selepas sambutan Aidilfitri nanti.
Powered by Blogger.