Berita Terkini
recent

Zara tak sedih pun

KEGAGALAN menempatkan diri dalam mana-mana kategori pada majlis anugerah yang pernah dimenanginya sebelum ini tidak membuatkan pelakon Zara Zya patah semangat.

Meskipun ada yang mendakwa pemegang gelaran Artis Baharu Wanita Popular Anugerah Bintang Popular ke-27 itu seakan-akan meluahkan rasa kecewa di laman Instagram miliknya, Zara memberitahu ia hanya kebetulan.

Baru-baru ini pelakon yang popular menerusi Love You Mr. Arrogant, Zara Zya dikatakan ada memuat naik kata-kata seolah-olah menggambarkan isi hati dan perasaannya.

Bukan sekali, bahkan menerusi sebuah video yang memaparkan dirinya menyediakan juadah turut mendapat perhatian apabila Zara menamakan menu itu ‘Maggi Goreng Jangan Menangis Sayang’.

“Apa yang saya kongsi di Instagram adalah kebetulan. Bukan kerana terkilan atau bersedih pun. Saya sengaja mahu kongsikan kata-kata ini dengan peminat.

“Saya mahu selitkan perkongsian yang boleh dijadikan motivasi kepada umum. Menu masakan ‘jangan menangis’ pun disengajakan, tidak ada kena-mengena pun dengan pencalonan,” katanya.

Tambah Zara, dia tidak pernah berasa ralat sekiranya gagal menempatkan diri dalam anugerah terbabit. Baginya, semua itu terpulang kepada rezeki masing-masing.

“Anugerah itu berdasarkan undian orang ramai. Bagaimanapun, sekiranya kita tidak tercalon, itu tidak bermakna tiada yang menyokong kita. Saya percaya, peminat sentiasa ada di belakang saya.

“Saya pun pernah menang. Jadi, mungkin ini peluang pelapis muda pula merasainya,” katanya.

Menurut Zara, sebagai anak seni yang memperjuangkan bakat, keutamaan perlu diberikan kepada hasil kerja yang bermutu tinggi.

“Tak susah kalau kita nak kekalkan nama. Apa yang penting kena kekalkan momentum menerusi lakonan bermutu.

“Disebabkan itu, saya kini cenderung mencari naskhah berkualiti,” katanya yang terikat dengan penggambaran drama bersiri My Sweet Lavender.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.