F Zapin Bocey geletek penonton | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Zapin Bocey geletek penonton

Sejarah tercipta apabila Bocey sekali lagi dinobatkan sebagai juara pada pentas akhir program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017, Jumaat lalu.

Selepas 12 minggu beraksi, Bocey menewaskan empat lagi peserta yang layak mara ke peringkat akhir iaitu Shiro, Puteh, Zero dan pelawak solo dari Indonesia, Dzawin dalam program yang berlangsung di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah.

Kemenangan itu melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM500,000 dan trofi sumbangan Astro.

Gelaran naib juara pula diungguli Shiro yang menerima hadiah wang tunai RM250,000 berserta trofi.

Sementara itu, Dzawin yang menjadi peserta tunggal dari negara seberang tidak mengecewakan apabila meraih tempat ketiga dengan merangkul hadiah wang tunai RM150,000 dan trofi manakala Zero berada di tempat keempat memenangi RM50,000 serta trofi.

Puteh yang terpaksa berpuas hati di tempat kelima pula menerima wang tunai RM15, 000 dan trofi.

Kejayaan Bocey itu sekali gus mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut selepas memenanginya MLM tahun lalu dan ia pencapaian yang tidak pernah diraih peserta program terbabit sebelum ini.

Kumpulan yang dianggotai Fad, Abam dan Achey itu begitu konsisten sejak awal pusingan dengan tema ‘Bebas’ dan ‘Muzikal’. Lawak ‘gerai donat bujang’ pada pusingan pertama dan ‘persembahan zapin’ pada pusingan kedua menarik perhatian hampir 1, 500 penonton yang membanjiri dewan berkenaan malam itu.

Fad berkata, kemenangan ini tidak dijangka apatah lagi mereka tidak meletakkan sebarang sasaran.

“Sudah tentu kami bersyukur kepada Allah atas kejayaan ini. Sejujurnya kami tidak pernah menduga mampu mengulangi kejayaan tahun lalu dan ia membuktikan apa yang dipersembahkan malam ini membuahkan hasil,” katanya selepas program itu melabuhkan tirai.

Achey pula berkata, menyedari prestasi Bocey ada turun naik sepanjang acara itu berlangsung, mereka segera mengambil inisiatif memperbaiki kelemahan bagi memastikan perjalanan ke pentas akhir MLM 2017 lancar.

“Ramai tidak tahu bukan mudah memerah otak menghasilkan komedi berkualiti dan dapat diterima semua pihak. Kami mengorbankan masa tidur untuk mencari idea segar dan relevan.

“Sering kali jam 12 tengah malam hingga 4 pagi adalah waktu ‘siang’ bagi kami untuk mencari idea serta mempraktikannya bersama-sama supaya dapat diterjemahkan ke pentas lawak setiap minggu.

“Nampaknya pengorbanan kami berbaloi apabila menang sekali lagi,” katanya.

Sementara itu, Abam menyifatkan prestasi Bocey dalam MLM semakin meningkat dari tahun ke tahun menerusi kualiti jenaka yang ditampilkan.

“Kami menjadikan apa yang berlaku di sekeliling kita seperti bergaduh di kedai makan atau tarian zapin sebagai bahan untuk jenaka kerana ia dekat dengan jiwa penonton.

“Malah, proses yang dilalui MLM setiap tahun adalah medan pembelajaran kami untuk meningkatkan mutu jenaka dan sangat berpuas hati dengan inisiatif yang dilakukan ini,” katanya.

Bocey tidak menolak kemungkinan menyertai MLM pada edisi akan datang sekiranya dijemput pihak produksi.

Tak ‘kitar semula’ lawak

Ajak dari Shiro pula berkata, meskipun hanya meraih tempat kedua dan mengulangi pencapaian pada MLM 2013, mereka tetap bersyukur dan berpuas hati dengan persembahan yang diketengahkan di pentas akhir.

“Kami tidak kecewa dengan keputusan ini kerana dapat menyampaikan persembahan seperti yang dirancang.

“Malah, kalau dinilai jenaka yang ditampilkan, ia sarat dengan mesej untuk renungan bersama. Penonton yang hadir pun tidak sekadar ketawa kosong kerana banyak manfaat yang dapat diambil daripada jenaka itu dan terpulang kepada mereka untuk menerimanya,” kata Ajak.

Ajak menepis dakwaan netizen bahawa Shiro sudah kekeringan idea sehingga terpaksa ‘mengitar semula’ idea yang pernah ditampilkan mereka serta kumpulan lain.

“Sebenarnya tuduhan itu tidak benar kerana lawak yang kami ketengahkan adalah segar dan asli. Tiada istilah kitar semula kerana ia tidak pernah dipersembahkan sebelum ini.

“Malah, penonton boleh nampak komedi kami tersirat mesej positif,” katanya.

Dzawin terus langkah, Zero undur diri

Bagi Dzawin pula, penyertaannya dalam MLM 2017 adalah satu pengalaman berharga yang akan dibawa pulang ke negara asalnya.

“Saya bersyukur atas kejayaan ini dan tidak sangka diterima baik masyarakat Malaysia. Mereka suka jenaka yang saya sampaikan.

“Saya akan jadikan pengalaman di Malaysia sebagai langkah untuk meneroka bidang ‘stand up comedy’ di negara saya dengan lebih mendalam supaya ia dapat dinikamti semua pihak,” katanya.

Pemenang tempat keempat, Zero pula memberi bayangan untuk mengundurkan diri dari pentas MLM akan datang bagi memberi peluang kepada pelawak lain.

Shariff berkata, meskipun pernah meraih kejuaraan MLM 2014, dia terkilan apabila gagal mempamerkan persembahan konsisten pada pentas akhir berkenaan walaupun pada awalnya diletakkan sebagai calon kegemaran untuk memenangi MLM 2017.

“Memang kami agak terkilan dengan persembahan kali ini dan meminta maaf kepada semua penyokong.

“Dengan komitmen diri yang semakin banyak selepas ini, kemungkinan besar kami tidak akan menyertai MLM musim akan datang demi memberi laluan kepada pelawak yang lebih muda dan baru untuk menyertainya,” katanya.

Walaupun berada di tempat keempat, Zero masih boleh berbangga apabila Syaiful mendominasi kategori Man of The Match pada malam itu.

Hadiah disampaikan pelawak veteran, Abdul Rasip Yahya atau lebih dikenali sebagai Mat Sentol serta pelakon dan pengarah yang juga juri tetap MLM 2017, Datuk Rosyam Nor manakala Datuk AC Mizal bertindak sebagai pengacara.

Selain Rosyam, persembahan peserta turut diadili tiga lagi juri tetap iaitu pelakon dan pengacara Neelofa, Datuk Aznil Nawawi dan bintang popular seberang, Luna Maya.

Turut hadir dalam program berkenaan adalah Angah Raja Lawak dan cef selebriti terkenal Datuk Redzuawan Ismail atau Cef Wan.

Powered by Blogger.