Berita Terkini
recent

Wawa Zainal rindu kembali berlakon

PELAKON cantik, Wawa Zainal mengakui bahagia dengan kehidupannya kini, sebagai isteri kepada Aeril Zafrel dan ibu kepada dua cahaya mata comel, Ahmad Fakharuddin Attar, 3, dan Hayla Maghfirahtul Adzkiyaa, 1.

Keputusannya memperlahankan aktiviti lakonan demi memberi tumpuan kepada kepada anak-anak dan rumah tangga dianggap sebagai pilihan terbaik ketika ini.

Bagaimana pun heroin filem 99 Kali Rindu ini tidak menolak kemungkinan kembali aktif apabila anak-anaknya sudah mampu berdikari kelak.

“Ramai yang ingat saya tak mahu berlakon lagi sebab dah lama tak lihat tengok saya di TV atau filem.

“Sebenarnya, saya tak pernah fikir berhenti berlakon sebab memang minat dari dulu, cuma buat masa ni sibuk dengan perkara lain terutama anak-anak dan bisnes .

“Insya-ALLAH bila anak-anak dah besar, saya mungkin tak tolak berlakon apatah lagi tawaran sentiasa ada,” jelasnya.

Menolak anggapan bahawa keputusannya itu dipengaruhi permintaan suami yang mahu dia menjadi suri rumah sepenuh masa, kata Wawa, Aeril yang dinikahinya lebih empat tahun itu tidak pernah menghalangnya meneruskan kerjaya seni.

“Aeril beri kebebasan saya buat keputusan asalkan boleh beri kebaikan kepada kami sekeluarga.

“Sejak dulu Aeril sentiasa menyokong saya, dia pun faham minat saya dalam lakonan, jadi memang mustahillah dia tak benarkan saya berlakon.

“Saya rindu sangat nak berlakon. Tengoklah nanti kalau ada rezeki, dapat tawaran sesuai dan kena masanya, saya akan pertimbangkan,” katanya yang kali terakhir muncul dalam drama Biarkan Cinta Tersenyum Lagi.

Selain sibuk menguruskan anak-anak, Wawa kini aktif menguruskan rangkaian perniagaannya termasuk pakaian Muslimah jenamanya sendiri yang kini semakin menunjukkan perkembangan positif.

Terbaru, Wawa baru sahaja melancarkan koleksi Aidilfiri, Syoknyee Raya 2017 yang menampilkan pelbagai rekaan menarik.

“Dulu Wawa buat bisnes hanya suka-suka nak mengisi masa lapang sambil urus anak, tapi tak sangka pula berhasil.

“Sebelum ni Wawa berkolaborasi dengan banyak pihak, Alhamdulillah sekarang pakaian jenama Wawa Zainal sudah boleh berdiri sendiri, kami dah ada pasukan yang sangat komited.

“Sesekali Aeril turut membantu tapi masanya agak terhad kerana sibuk berlakon,” ujar Wawa yang juga mengendalikan perniagaan tudung dan kanta lekap.

Pasangan romantis

Mengakui diri seorang yang cukup low profile, kata Wawa dia lebih suka menjalani kehidupan sebagai orang biasa tanpa perlu cenderung untuk berkongsi segala apa yang dimiliki dengan orang di luar sana.

“Saya dan suami memang sama.  Tak suka menunjuk-nunjuk apa yang kami lakukan kepada orang luar. Kalau perlu, baru kami kongsi," tegasnya.

Dalam pada itu, Wawa yang cukup dikenali sebagai peminat setia filem dan lagu-lagu Bollywood kembali menjadi tular apabila klip video  dia dan suaminya menari sambil menyanyikan lagu Hindustan ala-ala Shahrukh Khan dan Kajol.

“Sebenarnya klip video miming lagu Kuch Kuch Hota Hai itu dibuat sempena pelancaran koleksi raya terbaru jenama Wawa Zainal dan Kurta eksklusif Lima Waktu.

“Apa salahnya kami tampil dengan klip video tu. Lagipun itu juga hadiah buat peminat yang sentiasa menyokong kami sebelum ini.

Kata Wawa, Aeril sebelum ini tidak meminati filem hindi tetapi  disebabkan dia selalu menonton  filem dan dengar lagu-lagu Hindustan  di rumah setiap masa, suaminya turut terpengaruh.

"Akhirnya dia pun terpengaruh, sanggup belajar menari untuk buat video klip Bollywood demi saya,” katanya yang turut membuat persembahan istimewa tarian Bollywood ketika majlis pelancaran koleksi raya tersebut baru-baru ini.

Dikenali sebagai pasangan serasi dan romantik, Wawa  bersyukur dengan kehidupan yang dilaluinya bersama suami sehingga hari ini.

“Alhamdulillah rumah tangga kami bahagia bersama dua anak dan saya berharap agar apa yang kami miliki ini berkekalan sampai bila-bila.

“Kami berdua saling mengenali dan cukup memahami antara satu sama lain membuatkan apa pun datang dapat diatasi dengan sebaiknya.

“Biarpun sesekali suami turut terpalit gosip dengan rakan gandingannya dalam lakonan, ia tidak pernah menjadi isu kerana antara kami meletakkan kepercayaan yang begitu tinggi antara satu sama lain,” katanya lagi mengakhiri perbualan.
Powered by Blogger.