Berita Terkini
recent

Ukays Pelawa 'Raja Repot' Buat Persembahan Di Hard Rock Cafe

Kumpulan Ukays bakal mempelawa Abdul Rani Kulup bersama band nyanyiannya yang digelar Sometimes Group menjayakan persembahan mereka yang bakal diadakan di Hard Rock Cafe, di sini pada 14 Mei nanti.

Menurut ketua kumpulan Ukays, Amy atau nama sebenar, Azmi Hassan, keputusan memilih Sometimes Group menyertai persembahan tersebut disebabkan keunikan muzik yang dibawa mereka di samping populariti Rani itu sendiri.

"Pemilihan kumpulan Sometimes Group kerana mereka menyampaikan lagu kugiran yang lebih santai dan unik, mungkin dapat meredakan suasana setelah penonton didendangkan dengan lagu-lagu tangkap leleh daripada Ukays.

"Bukan itu sahaja, tidak salah kalau saya katakan kekuatan pengikut serta populariti Rani Kulup juga dapat membantu kami mempromosikan acara ini.

"Ukays akan mempersembahkan 15 buah lagu popular kami, manakala Sometimes akan menyampaikan empat buah lagu mengisi slot 30 minit dalam showcase ini," ujarnya .

Amy ditemui di majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) di antara kumpulan Ukays dan penganjur Ritz Corporate Holding, di Hard Rock Cafe di sini pada Selasa.

Selain Amy selaku gitaris, Ukays turut dianggotai oleh Well (bes), Tokjie (bes), Ali (dram) dan vokalis, Ady.

Dalam pada itu, Amy mengakui muzik Ukays masih lagi releven dan menjadi pilihan pendengar meskipun kumpulan ini sudah beberapa kali bertukar vokalis.

"Selama 28 tahun bertapak dalam industri muzik, peminat memberitahu kesetiaan mereka terhadap Ukays kerana lagu dan bukannya penyanyi.

"Mereka tak kisah siapa pun penyanyi asalkan lagu tersebut mengembalikan semula memori mereka sehingga ada yang kata mereka mahu dengar lagu Ukays, bukan siapa penyanyinya.

"Dalam hal ini, Ukays akan terus berjuang kerana inilah tempat kami mencari rezeki dan menjadi tanggungjawab kami untuk terus menghidupkan nama Ukays," ujarnya.

Sementara itu, Amy berkata, selepas penganjuran persembahan di Kuala Lumpur, mereka turut merancang menjayakan aktiviti yang sama di beberapa lokasi lain.

"Ikutkan perancangan selepas ini kami akan adakan showcase di Hard Rock Cafe yang lain iaitu di Melaka, Kota Kinabalu, Singapura dan Jakarta.

"Untuk showcase di Hard Rock KL tidak lama lagi, tiket berharga RM60 boleh dapatkan secara walk in pada tarikh tersebut atau layari facebook Ukays," ujarnya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.