Berita Terkini
recent

Ukays mahu kembalikan nostalgia

SETELAH sekian lama tidak muncul membuat persembahan istimewa, kumpulan Ukays bakal mengubati rindu peminat menerusi showcase yang bakal berlangsung di Hard Rock Café  pada 14 Mei ini, jam 3 hingga 6 petang.

Ukays yang kini dianggotai Amy (gitaris), Well (bass), Tokjie (bass) dan Ali (dram) akan bersama-sama dengan vokalis undangan mereka, Ady, akan menghiburkan peminat dengan 15 lagu popular Ukays sebelum ini.

Antaranya Di sana Menanti, Di sini Menunggu, Rhythm si Jantung Hati, Seksa, Kekasihku Di Menara, Pahit Akan Manis Akhirnya, Lepaskanmu Kerana Terpaksa dan lain-lain.

Meskipun tampil tanpa vokalis asal mereka, Amy selaku ketua kumpulan Ukays percaya, showcase ini tetap dapat perhatian peminat yang telah lama rindukan kemunculan mereka.

“Bila bercakap tentang Ukays, orang akan lebih fokus kepada lagu-lagu kami yang pernah popular sebelum ini, malah sehingga hari ini pun masih lagi diputarkan di corong radio.

“Jadi meskipun tanpa vokalis asal pun, saya percaya showcase ini akan menarik perhatian peminat kerana kami bawakan lagu-lagu terbaik Ukays yang mampu mengembalikan nostalgia mereka bersama kami,” ujar Amy yang merupakan anggota asal Ukays.

Ukays yang menempa nama dalam industri muzik sekitar 1990-an sebelum ini menampilkan Amir selaku vokalis yang kemudiannya menarik diri untuk bergerak secara solo sekitar 1997.

“Untuk showcase istimewa di Hard Rock Café nanti, kami akan tampil bersama vokalis undangan, Ady, yang kami rasakan mampu beri persembahan terbaik.

“Ady sebelum ini beberapa kali buat persembahan bersama Ukays dan ramai peminat menyukai keserasiannya bersama kami selain suaranya yang mirip penyanyi asal,” kata Amy mewakili kumpulan Ukays.

Amy yang ditemui ketika sidang media Showcase baru-baru ini juga berharap agar persembahan ini nanti dapat menghiburkan peminat selain menjadi permulaan buat mereka untuk kembali aktif dalam industri.

“Kalau diikutkan kami tidak pernah berhenti dari industri sebelum ini dan masih buat persembahan, cuma saya cukup berharap selepas kemunculan kami ini, ia dapat menjadi titik tolak untuk kami kembali bergiat aktif semula dalam industri seperti dulu.

“Insya-ALLAH, jika showcase ini berjaya mendapat sambutan ramai, kami juga bakal dapat peluang adakan persembahan sama Hard Rock Cafe Melaka dan Pulau Pinang.

“Bagaimanapun ia masih dalam perancangan dan perkembangan terbaru akan kami maklum dari masa ke semasa,” kata Amy.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.