Berita Terkini
recent

Tulis lagu saat ‘cinta monyet’

PERSONALITINYA ‘sempoi’ membuatkan selebriti yang menghiasi Bakat Baru Kakigosip minggu ini begitu mudah didekati.

Meski pertama kali bertemu, namun Shaa atau nama sebenarnya Juzratul Nisha Johari tidak lekang mengukir senyum dan seboleh mungkin cuba memberikan jawapan terbaik terhadap setiap persoalan yang diajukan.

Popular menerusi single pertama berjudul Pertama Kali, gadis berusia 22 tahun ini akui terkejut dengan penerimaan baik peminat pada lagu tersebut, malah tidak sangka ia sudah jadi tontonan netizen lebih sejuta kali di YouTube.

Angka tersebut menjadi salah satu pembakar semangat buatnya untuk beri yang terbaik pada masa depan, khusus buat mereka yang menggemari lagu tersebut.

“Dalam tempoh sebulan, muzik video lirik dimuat naik di YouTube, ia dah pun ditonton lebih 1.6 juta kali dan tentunya saya gembira dengan berita ini.

“Sebab bukan mudah untuk pendatang baru seperti saya raih angka tontonan  tinggi seperti itu.

“Jadi pastinya saya berbesar hati. Terima kasih buat semua yang menyokong.

"Ternyata, lagu Pertama Kali yang saya cipta lebih tujuh lalu itu beri impak positif dalam perjalanan kerjaya seni saya dan Darul Aman Buskers,” katanya merendah diri.

Tulis lagu zaman cinta monyet

Berkongsi dengan lebih lanjut mengenai lagu Pertama Kali yang kini menjadi siulan ramai itu, Shaa memberitahu lagu tersebut dinukilkannya ketika belajar di tingkatan tiga, sewaktu di perpustakaan sekolah.

“Biasalah zaman muda remaja, kita tak terlepas daripada alami fasa cinta monyet. Begitu juga dengan saya. Jadi ilham tulis lagu Pertama Kali itu datang mencurah-curah. Lalu saya rakam sekadar suka-suka bersama rakan dan mereka muat naik ke YouTube.

“Bila video tu di muat naik, saya tidak ambil pusing sangat sebab aktif dengan Darul Aman Buskers dan pada waktu itulah, saya dilamar Eddie Hamid untuk rakam lagu secara profesional.

“Sebab sebelum ini pun, kami ada muat naik lagu-lagu cover version di media sosial. Misalnya lagu Ziana Zain, Ayda Jebat, Ara dan Wany Hasrita,” katanya yang sudah setahun setia bersama Darul Aman Buskers.

Sebelum bergelar penyanyi, dia adalah penyanyi sepenuh masa bersama buskers tersebut dan aktif membuat persembahan sekitar Alor Star, Kedah.

Bagaimanapun, penglibatannya dalam arena seni secara serius dilihat sebagai satu pengalaman baru yang mematangkan diri, apatah lagi ini impiannya sejak dahulu lagi.

“Sejak orang mula kenal, Alhamdulillah tawaran persembahan pentas pun dah ada. Kalau nak dikirakan penat, memanglah penat. Namun bila kenangkan inilah cita-cita saya sejak dulu, rasa penat itu berbaloi.

“Apa pun, sebagai penyanyi yang masih lagi bertatih dalam seni, masih banyak yang perlu saya belajar, explore dan ambil pengalaman dari penyanyi senior yang lainnya. So far syukur, saya cuba lalui semua ini dengan relak dan tenang,” ujar Shaa.

Anggap persaingan sihat

Mengulas persaingan dihadapinya bersama penyanyi baru lain yang sedang meningkat naik, anak bongsu daripada enam beradik ini secara realistiknya tidak melihat ia sebagai satu persaingan.

Akan tetapi, situasi tersebut adalah normal. Tinggal lagi, penyanyi itu sendiri perlu mencorakkan perjalanan seni mereka untuk terus kekal relevan.

“Saya masih terlalu baru sebenarnya. Kalau nak dibandingkan dengan penyanyi baru lain rasanya masih terlalu jauh.

"Tiada istilah persaingan pun sebab saya sendiri belajar dengan mereka. Sokong lagu-lagu rakan seangkatan dan pada masa ambil mana yang baik dari mereka.

“Malah kalau nak diikutkan pun, trend sekarang pendengar gemar lagu-lagu tangkap leleh dan pasti itu bonus buat kami juga,” kongsi Shaa.

Shaa meluahkan dia amat meminati Ziana Zain.

“Saya begitu kagumi dan idolakannya. Bagi saya, Ziana seorang penyanyi yang sudah ada ‘kerusinya’ sendiri dalam dunia seni Malaysia.

“Namanya cukup besar dan bila sebut saja, orang dah terbayang kebolehan dia dendangkan lagu bernada tinggi,” tutur Shaa.

Dia juga mengharapkan peminat terus sokong perjalanan seninya itu.

“Sebagai orang baru, saya sekali lagi ingin ucapkan terima kasih buat semua, termasuk keluarga, rakan dan peminat atas sokongan berterusan kalian. Harapnya suntikan semangat yang saya terima ini akan berterusan sampai bila-bila, insya-ALLAH,” akhiri Shaa.

Powered by Blogger.