Berita Terkini
recent

Tiara Jacquelina Bawa Ola Bola Ke Pentas Teater

Pelakon dan penerbit terkenal, Tiara Jacquelina buat pertama kalinya bakal mengarahkan teater muzikal Ola Bola yang akan dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Februari 2018.

Menurut Tiara, beliau tertarik untuk membawa Ola Bola ke pentas teater kerana filem arahan Chiu Keng Guan ini sarat dengan mesej keharmonian dan sangat dekat dengan rakyat Malaysia.

"Saya menonton filem Ola Bola sebanyak dua kali di pawagam. Bagi saya filem ini penuh dengan emosi dan mesej serta memberi inspirasi kepada kita semua. Jadi, saya terfikir alangkah hebatnya jika nashkah ini dapat dipertontonkan secara live kepada penonton.

"Menariknya, teater ini lebih emosi. Saya juga mahu peminat filem Ola Bola dan penonton teater ini merasai sendiri pengalaman seperti menonton di dalam stadium," katanya ketika ditemui pada sidang media teater muzikal Ola Bola, bertempat di Panggung Bandaraya, pada Selasa.

Tiara selama ini sinonim dengan karya-karya teater hebat seperti Puteri Gunung Ledang, P. Ramlee The Musical dan The Secret life of Nora, menerusi terbitan produksi miliknya Enfiniti Entertainment.

Ola Bola The Musical bakal menyaksikan Raja Malek sebagai pengarah seni dan set. Manakala, Duan dan Seven Collar Tshirt selaku pengarah Muzik.

Terdahulu, filem Ola Bola ditayangkan pada 28 Januari tahun lalu di 120 pawagam di seluruh negara berjaya mencapai kutipan mencecah RM12 juta pada hari ke-18 tayangannya.
Powered by Blogger.