F Tetap Jadi Diri Sendiri | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Tetap Jadi Diri Sendiri

Pelakon Gambit Saifullah memberitahu beliau tidak mahu ambil pusing mengenai persepsi sesetengah pihak yang masih lagi beranggapan dirinya adalah 'artis bermasalah'.

Menurut pemilik nama sebenarnya Mohd Saifullah Rosli, 31, ini sebagai manusia dia tidak mampu memuaskan hati semua pihak.

Sebaliknya apa yang lebih penting, dia mahu terus mempertingkatkan diri dan memberi fokus pada kerja-kerja seninya baik menerusi lakonan mahupun dalam bidang penerbitan.

"Kita buat apa sekalipun, takkan dapat puaskan hati semua orang. Tidak semua orang suka dengan kita.

"Cuma apa yang saya boleh lakukan, saya kaji semula apa yang saya buat dulu dan sekarang. Dulu mungkin niat saya betul tapi cara saya mungkin salah. Tapi sekarang saya rasa saya lebih matang dalam membuat satu-satu keputusan, lebih tahu apa yang saya mahu lakukan tapi saya tetap masih dengan prinsip saya. Saya tetap akan jadi diri saya.

"Kalau ada yang masih fikir negatif terhadap saya, itu bukan saya punya tanggungjawab saya kerana ia memang diluar kawalan saya. Apa yang penting saya mahu fokus dan cuba berikan yang terbaik," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk SkinIdea, di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.

Akui Gambit juga kini cuba lebih aktif berkongsi mengenai perkembangan kerjayanya di laman sosial seperti Instagram dan Twitter sebagai salah satu cara untuknya lebih mendekatkan diri dengan peminat.

Selepas kembali semula ke industri lakonan tahun lalu, dia bersyukur kerana mendapat sokongan ramai peminat juga bertambah peminat baharu. Tambahan dramanya berjudul Shhh... I Love You sekarang sedang ditayangkan di saluran TV3.

"Dulu saya memang seorang yang jarang berkongsi tentang kerja saya dan tidaklah aktif sangat di laman sosial.

Tapi sekarang saya sedar dan akui, media sosial sebenarnya antara platform yang memberi impak dan pengaruh besar.

Jadi sekarang saya cuba untuk lebih aktif berkongsi perkembangan dan gambar-gambar berkaitan kerja-kerja seni saya kepada peminat. Itu juga cara untuk saya dekatkan diri dengan peminat," tuturnya.

Sudah Ada Calon

Sementara itu, diajak berkongsi mengenai kehidupan peribadi, Gambit berkata buat masa ini dia masih belum memikirkan soal mahu menamatkan zaman bujang kerana mahu menumpukan pada kerjaya.

Namun, kata pelakon yang mempunyai hobi menggembara ini dia sudah mempunyai teman istimewa namun belum sedia untuk berkongsi lanjut mengenai wanita yang berjaya mencuri hatinya itu.

"Ada...(teman istimewa). Tapi buat masa ini saya tak mahu kongsi lebih-lebih lagipun saya tidak fikir lagi soal kahwin. Saya nak fokus dulu pada kerja. Tahun depan saya merancang untuk kembali menerbitkan program TV," tuturnya sambil tersenyum.
ot;1" />
Powered by Blogger.