Berita Terkini
recent

Terima kasih kawan

Tanpa sokongan rakan yang dikenalinya di kolej dulu, tidak mungkin Roy Rafiq, 30, dapat merakamkan single pertama berjudul Bila Jatuh Cinta.

Aegy bukan sahaja rakan yang pernah menimba ilmu bersamanya tetapi mereka juga berasal dari negeri sama iaitu Kota Kinabalu (KK), Sabah.

Aegy yang terlebih dulu mengorak langkah menetap Kuala Lumpur (KL) kini kembali menetap di KK selepas lapan tahun memperjuangkan nasib sebagai anak seni.

Menurut Roy atau nama sebenarnya M Royrafik Hashim, sejak kecil dia suka menyanyi dan merakamkan banyak lagu tetapi untuk simpanan sendiri.

“Saya tidak yakin untuk berkongsi lagu yang sudah dirakam dengan orang lain. Sehinggalah Aegy kembali menetap di KK pada 2014, dia mendengar lagu saya dalam kereta.

“Yakin saya boleh pergi jauh, dia menyarankan saya merakamkan lagu secara serius. Dia mengajak saya bernaung di bawah syarikat penerbitannya, NuBornmusic. Dengan kesungguhan Aegy, lahirlah single Bila Jatuh Cinta. Keseluruhan lagu ini hasil sentuhan Aegy dan dia turut menyanyi.

“Melodi yang diperdengarkan Aegy amat menarik dan liriknya juga dekat di hati saya kerana apabila bercakap soal cinta, tentu semua orang pernah jatuh cinta,” katanya.

Namun, jelas Roy rakaman lagu itu mengambil masa untuk siap sepenuhnya.

“Proses rakaman dimulakan pada 2015 tetapi terhenti seketika kerana ada beberapa halangan yang tidak dapat dielakkan. Selepas enam bulan berlalu, saya dan Aegy terpaksa melakukan rakaman semula dan lagu ini siap sepenuhnya pada Mac 2016.

“Melihat sambutan pendengar radio di KK terhadap lagu ini, pasti saya tidak dapat melupakan jasa Aegy. Dia bersungguh-sungguh mahu saya menjadi penyanyi dan tidak lagi hanya mendengar nyanyian sendiri dalam kereta,” katanya.

Roy yang bertugas di Jabatan Marin, Universiti Malaysia Sabah kini berada di KL untuk mempromosikan lagunya. itu.

“Saya akan berada di KL selama seminggu. Sebenarnya sudah sebulan saya bercuti kerana memenuhi pelbagai undangan di KK. Walaupun majikan memberikan sokongan nampaknya saya terpaksa segera pulang ke KK untuk bekerja semula,” katanya.

Inilah kunjungan pertama Roy ke KL dan jika tidak kerana untuk mempromosikan lagunya itu pasti sehingga kini Roy tidak tahu bagaimana rupanya ibu kota yang sentiasa sibuk dan sesak ini.

Meskipun Roy sudah mula seronok menjalani rutin baru dalam hidupnya, dia belum bersedia meninggalkan pekerjaan tetapnya.

“Walaupun sudah ada single, saya tahu pahit getir menjadi anak seni. Agak perit jika saya hanya bergantung harap pada bidang nyanyian sahaja,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.