F Susun lagu untuk orkestra | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Susun lagu untuk orkestra

Lebih tiga dekad menumpahkan sepenuh kecintaan terhadap industri muzik tanah air sebagai komposer tersohor bukan satu tempoh singkat.

Sepanjang pembabitannya, Aubrey Suwito tidak pernah mengecewakan apabila sentiasa tampil dengan muzik segar dan mendapat pengiktirafan pelbagai pihak.


Bagi melengkapkan profil seninya, Aubrey mencabar dirinya mengadakan konsert Aubrey Suwito & Friends with the MPO - A Celebration of 30 Years in Music bersama kumpulan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DEP).

Acara yang dijadualkan berlangsung pada 19 dan 20 Mei ini menampilkan persembahan daripada Dayang Nurfaizah, Sean Ghazi, Faizal Tahir dan Jaclyn Victor serta seorang artis jemputan.

Bagi mengiringi persembahan selebriti terbabit, dia akan memetik piano dengan diiringi 90 pemuzik MPO yang dipimpin Ahmad Muriz Che Rose.

Konsert terbabit bakal menyaksikan kebolehan Aubrey menyusun semula muzik lagu ciptaannya yang berentak pop dan balada untuk orkestra.

“Persembahan ini akan mencatat sejarah penting dalam kembara seni saya. Tidak hanya kerana barisan artis akan mempersembahkan lagu ciptaan saya, peluang bekerjasama dengan MPO juga adalah detik indah yang tidak akan dilupakan.

“Bagi memastikan konsert ini meninggalkan impak luar biasa, saya sudah memulakan sesi latihan dan menyusun semula lagu sejak sembilan bulan lalu.

“Lagipun, bukan mudah memilih lagu yang bersesuaian untuk dipersembahkan secara orkestra,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan artis yang menjayakan konsert itu, Aubrey berkata, ia dibuat berdasarkan nilai komersial dan kemampuan mereka membuat persembahan bersama kumpulan orkestra.

“Kita semua sedia maklum bahawa bukan mudah untuk membuat persembahan bersama orkestra kerana artis itu perlu memiliki kemahiran serta kekuatan dinamik terutama apabila membabitkan teknik nyanyian.

“Harus diakui tidak semua penyanyi hari ini mempunyai keberanian dan kebolehan itu,” katanya yang pernah mengiringi persembahan beberapa artis antarabangsa seperti David Foster, Richard Marx, Babyface, Cakra Khan dan Natalia Cole.

Menerusi konsert itu, sebanyak 14 lagu ciptaannya bakal dipersembahkan di hadapan 920 penonton termasuk Sedingin Mana Cintamu, Layarlah Kembali, Malacca Sun, Counting Days, Gemuruh dan Menetap Dalam Mimpi.

Lebih istimewa, konsert berkenaan juga akan menyerlahkan bakat gubahannya untuk lagu klasik seperti Hujan, Bohemian Rhapsody dan Tanah Pusaka yang akan disampaikan dalam bentu simfoni.

Menurut Aubrey, dia berharap konsert yang berlangsung di pentas berprestij itu dapat menarik perhatian generasi muda.

“Berdasarkan pengalaman menghadiri acara muzik sebelum ini, saya kagum melihat beberapa anak muda menonton dan menyukai persembahan orkestra.

“Justeru saya berasa yakin dengan pemilihan barisan artis ini akan dapat menarik minat generasi muda menonton konsert ini,” katanya yang bakal sibuk dengan beberapa acara besar termasuk memimpin persembahan penutup Sukan Sea selain lagu tema sebuah filem.

Tiket boleh dibeli menerusi laman web www.mpo.com.my pada harga RM150, RM210, RM270 dan RM380.
ot;1" />
Powered by Blogger.